KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima Istiadat Menghadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau ke-22 di Istana Besar Seri Menanti, di sini Sabtu ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang menyampaikan titah perkenan ayahanda berhubung istiadat berkenaan dalam satu majlis istiadat menghadap Dato’ Dato’ Adat Luak Rembau, di sini, hari ini.
“Beta difahamkan bahawa pemilihan penyandang Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau telah dilaksanakan mengikut adat yang terpakai dan diamalkan dalam Luak Rembau,” titah baginda dalam majlis istiadat mengadap Dato’ Dato’ Adat Luak Rembau, di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Kerapatan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Dato’ Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, Undang tidak dilantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tetapi dipilih dalam Luak sendiri aitu Lembaga, waris, dan pada amnya lbu Soko, menerusi proses adat.
“Alhamdulillah, pada kerapatan yang diadakan oleh anak-anak buah kampung Tanjung tersebut maka kampung-kampung Tanjung daripada Ibu Sokonya dan warisnya telah memilih (Tuan Haji) Hassan Ab Hamid berusia 67 tahun untuk dijadikan Undang Luak yang ke-22,” katanya.
Untuk rekod, pemilihan Undang Luak Rembau itu mula menimbulkan pertikaian bagi menggantikan penyandangnya, Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














