MONTERREY – Ketua Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo mengakui terpaksa mengharapkan tuah untuk lolos ke pusingan kalah mati selepas tewas 0-1 kepada Afrika Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A, semalam.
Pada perlawanan itu, gol tunggal pemain Bafana Bafana, Thapelo Maseko sudah cukup untuk memastikan pasukan Afrika mara selaku naib juara dengan Taeguk Warriors berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata.
Menerusi format kali ini, lapan pasukan No. 3 setiap kumpulan bakal mara ke pusingan 32 terbaik dengan Korea Selatan terpaksa menunggu semua perlawanan berakhir pada Ahad nanti sebelum mengetahui nasib mereka.
Menurut Myung-bo, semua pemain telah memberikan segala-galanya di atas padang tetapi kegagalan mengelak daripada dibolosi terlebih dahulu menjadi titik kekalahan kepada pasukan.
“Ini adalah keputusan yang mengecewakan dan ini adalah tanggungjawab saya sebagai jurulatih. Pemain-pemain sudah memberikan segalanya tetapi malangnya kita bolos terlebih dahulu.
“Saya pun tidak tahu bagaimana nasib atau jadual kami selepas ini (sama ada layak atau tidak),” katanya.
Sementara itu, pengendali Afrika Selatan, Hugo Broos mengakui sangat teruja apabila pasukannya dapat melakar sejarah baharu selepas gagal pada tiga edisi yang disertai sebelum ini.
“Kami bermain dengan sangat baik. Korea Selatan menghadapi kesukaran untuk mencari ruang dan taktikal bertahan kami kekal cemerlang,” katanya. – AGENSI














