PORT DICKSON – Beberapa kawasan di daerah ini dan Seremban dijangka mengalami tekanan air rendah serta gangguan bekalan air bermula pukul 8 pagi tadi susulan pengurangan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi akibat kekeruhan air mentah yang tinggi.
Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengurangan pemprosesan air itu dilakukan bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna mematuhi piawaian air minum kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, antara kawasan yang dijangka terjejas di Port Dickson ialah sekitar Pekan Port Dickson hingga Batu 6 Jalan Pantai, selain kawasan dari Pekan Port Dickson ke Pekan Lukut, Simpang Bukit Palong, Chuah, Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A.
Di Seremban pula, gangguan dijangka melibatkan kawasan dari Pekan Rantau hingga ke pinggiran Senawang dan Sungai Gadut, sekitar Jalan Siliau hingga Kilang GMP Medicare serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang.
“Pemprosesan air di loji dikurangkan demi memenuhi piawaian air minum kebangsaan yang ditetapkan oleh KKM.
“Para pelanggan dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan,” katanya.
Sains turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan meminta pengguna menghubungi Pusat Panggilan Sains di talian 1-300-88-6982 bagi mendapatkan maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE














