fbpx
Wak Saadon menunjukan ternakan lembunya yang berjaya dibawa ke tempat lebih tinggi dalam kejadian ban pecah di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat. Foto oleh AFIQ RAZALI

Ban Pecah: Wak Saadon bertarung selamatkan 20 lembu RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Seorang pengembala lembu ‘bertarung’ selama empat jam bagi memindahkan 20 ekor lembunya bernilai lebih RM100,000 daripadanya ditenggelami banjir susulan kejadian ban pecah di Kampung RTB Bukit Changgang, Banting di sini, hari ini.

Episod menyelamatkan haiwan ternakannya itu dilakukan Saadon Sadiron, 58, bermula 6 pagi selepas air naik mendadak sehingga menenggelami kawasan rumah dan kandang ternakan miliknya.

Lelaki itu yang mesra dipanggil Wak Saadon berkata, dia bersama anak lelaki, jiran dan saudara-mara menggiring kesemua lembu ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan ternakan berkenaan mati lemas.

“Saya mula rasa tidak sedap hati apabila hujan lebat berterusan sejak petang semalam. Kira-kira pukul 1 pagi, saya keluar bersama beberapa penduduk untuk memeriksa keadaan ban selepas terdengar khabar ia pecah.

“Memang terkejut sebab dalam masa singkat sahaja kawasan rumah terus dinaiki air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Salah seorang penduduk mengeluarkan lembu ternakan dalam kejadian ban pecah di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat. Foto oleh AFIQ RAZALI

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan dia tidak sempat memikirkan perkara lain selain menyelamatkan ternakan yang menjadi sumber pendapatan utamanya sejak lebih dua dekad lalu.

Katanya, usaha memindahkan lembu bukan mudah kerana haiwan itu panik selain arus air yang semakin deras menyukarkan pergerakan mereka.

“Ketika itu saya hanya fikir bagaimana mahu selamatkan lembu-lembu ini. Jika gagal, kerugian yang saya tanggung amat besar kerana nilai keseluruhannya melebihi RM100,000.

“Alhamdulillah dengan bantuan ramai pihak, semua ternakan berjaya dipindahkan ke kawasan selamat,” ujarnya.

Menurutnya, setiap ekor lembu terbabit bernilai antara RM6,000 hingga RM14,000 bergantung kepada baka dan saiz, sekali gus menjadikan ternakan itu aset paling berharga dimilikinya.

“Ini merupakan antara lembu-lembu yang terjual pada Aidiladha sebelum ini. Kejadian kali ini amat mengejutkan kerana paras air meningkat mendadak dalam hanya beberapa jam selepas kejadian banjir besar pada 2021.

“Ramai penduduk tidak sempat membuat persediaan awal dan mengeluarkan apa yang termampu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN