fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam Op Mega Imigresen Selangor. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Dua kilang digempur, 270 pekerja asing dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Salah guna pas dan tinggal lebih masa antara kesalahan dikesan membabitkan 270 pekerja asing yang ditahan dalam serbuan di dua kilang sekitar Meru dan Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor bersama beberapa agensi penguat kuasa itu dilaksanakan secara berasingan dalam Op Mega bermula
kira-kira pukul 8 pagi.

Ketika serbuan, kesemua lelaki warga asing
berusia 18 hingga 50 tahun itu didapati sedang bekerja, malah sebahagian cuba meloloskan diri namun gagal.

Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen negeri, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, serbuan pertama melibatkan kilang plastik dengan menahan 18 pekerja asing disusuli 252 lagi di sebuah kilang perabot.

Katanya, kesemua yang ditahan antaranya membabitkan warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka.

“Semakan awal mendapati kebanyakan kesalahan yang dikesan melibatkan tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas. Ada individu mendakwa memiliki pas yang sah namun gagal mengemukakan dokumen itu ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu petang ini.

Beliau turut menegaskan supaya majikan sentiasa peka dengan status dan keberadaan pekerja asing yang diambil bekerja termasuk memastikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) digunakan mengikut lokasi serta sektor diluluskan.

Tambah Mohmad Khusairi, kes itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 terlebih dulu dan bahagian siasatan akan menentukan seksyen berkaitan kelak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN