fbpx
Sesi Pertukaran Dokumen Jaringan Geopark melibatkan GHL Geopark dan Kinabalu UNESCO Global Geopark berlangsung di Semporna, Sabah baru-baru ini.

Jaringan kerjasama GHL Geopark dan Kinabalu UNESCO Global Geopark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA geopark di dua negeri berbeza di Malaysia mencipta sejarah apabila saling berkongsi kepakaran.

Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark melakar pencapaian penting baru-baru ini bersama Kinabalu UNESCO Global Geopark menerusi pelaksanaan Sesi Pertukaran Dokumen Jaringan Geopark yang berlangsung di sebuah hotel di Semporna, Sabah baru-baru ini.

Sesi pertukaran dokumen itu merupakan sebahagian daripada program Sesi Libat Urus Kaedah Pengurusan Pemberian Geran Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang dianjurkan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bersama Kementerian Kewangan Sabah dan Taman-Taman Sabah.

Program tersebut turut melibatkan pelbagai agensi berkepentingan termasuk Tourism Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah serta pihak berkuasa tempatan.

Menurut satu kenyataan kepada K-Remaja, jaringan kerjasama yang dimeterai itu bertujuan memperkukuh tadbir urus geopark melalui perkongsian amalan terbaik, pertukaran kepakaran, penyelidikan, pembangunan komuniti serta program pendidikan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua geopark.

“Kerjasama ini juga dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh persediaan GHL Geopark ke arah memperoleh pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark menjelang tahun 2028,” katanya.

Delegasi dari dua negeri bergambar kenangan pada program bersejarah itu.

Pembangunan GHL Geopark merupakan antara inisiatif penting yang terus diperkasa oleh kerajaan negeri Selangor melalui pemberian Geran EFT. Ia sejajar dengan komitmen negeri dalam memelihara khazanah geologi, biodiversiti dan warisan budaya sambil merancakkan pembangunan pelancongan lestari.

Selain menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar, usaha itu turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan geopelancongan yang semakin mendapat perhatian di peringkat domestik dan antarabangsa.

Majlis pertukaran dokumen tersebut melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor merangkap Pengerusi GHL Geopark, Chua Yee Ling dan Pegawai Penyelidik (Geologi), Noorannezza Junsin.

Sesi tersebut turut disaksikan oleh wakil Kementerian Kewangan Sabah, Mohamad Nazrie Paulus serta Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Sabrina Adnan.

Melalui jaringan strategik itu, GHL Geopark berharap dapat memperluas kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa. Kerjasama itu juga diharap dapat memperkukuh kedudukan GHL Geopark sebagai destinasi geopark yang berdaya saing serta berpotensi menjadi UNESCO Global Geopark pertama di Selangor.

Untuk makluman, GHL Geopark merupakan geopark kebangsaan meliputi kawasan bernilai tinggi dari segi geologi, biodiversiti dan warisan budaya di daerah Gombak dan Hulu Langat.

Pembangunannya dipacu melalui kerjasama pelbagai agensi dengan matlamat memelihara sumber semula jadi sambil menjana manfaat sosioekonomi kepada komuniti setempat menerusi pelancongan lestari dan pendidikan alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN