KANSAS – Ketua Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mungkin perlu mengubah lagi barisan serangannya untuk perlawanan ketiga peringkat kumpulan menentang Tunisia pagi esok selepas Brian Brobbey mengalami kecederaan hamstring.
Brobbey menjaringkan dua gol dalam tempoh 17 minit pertama ketika Oranje membelasah Sweden 5-1, namun digantikan pada minit ke-72 oleh Memphis Depay yang juga sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan paha.
Belanda kini mendahului Kumpulan F, namun ketika Jepun menewaskan Tunisia 4-0, Koeman sedar pasukannya memerlukan lebih banyak gol ketika menentang pasukan Afrika yang sudah tersingkir itu bagi memastikan mereka muncul juara kumpulan.
“Dia (Brobbey) mengalami sedikit masalah hamstring, jadi itu mungkin menjadi satu halangan untuk dia berada dalam senarai pada perlawanan menentang Tunisia nanti,” kata Koeman.
Koeman mampu mengubah struktur jentera serangan dengan meletakkan Donyell Malen sebagai penyerang tengah dan mengembalikan Crysencio Summerville ke posisi sayap kanan.
Ketika penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda, Depay masih belum cukup cergas, Koeman memiliki Justin Kluivert dan penyerang Ajax, Wout Weghorst yang bersedia untuk diturunkan.
“Kami mempunyai pelbagai jenis penyerang dan boleh mengubah kedudukan mereka mengikut keperluan. Ia memberi kami banyak pilihan,” kata Koeman.
Lima gol yang dijaringkan ketika menentang Sweden memberikan suntikan keyakinan yang amat diperlukan oleh Belanda selepas seri 2-2 dengan Jepun dalam perlawanan pembukaan serta beberapa persembahan yang kurang meyakinkan dalam aksi pemanas badan.
Oranje kini berada di landasan untuk bertemu sama ada Brazil atau Maghribi pada pusingan seterusnya dengan syarat mereka menewaskan Tunisia dan menamatkan saingan dalam dua tempat teratas kumpulan. – AGENSI














