GUADALUPE – Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo memberi bayangan sudah menemui ramuan terbaik bagi memastikan mereka menang ke atas Afrika Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia 2026 di Estadio Monterrey pagi esok.
Selepas mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan pada dua aksi awal, skuad Taeguk Warriors hanya memerlukan keputusan seri ke atas Afrika Selatan bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.
“Memandangkan ia merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan, jadi kami mahu catat kemenangan dan meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya. Saya akan melakukan analisis secara terperinci terhadap pasukan lawan.
“Saya akan mengkaji kekuatan dan kelemahan mereka bersama pemain-pemain. Saya juga belum ada gambaran kesebelasan pemain kerana ia hanya akan dibuat selepas kami menjalani latihan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Korea, Lee Kang-in berharap dia dan rakan sepasukan dapat memanfaatkan sepenuhnya waktu rehat bagi memperbaiki taktikal sebelum membuat perhitungan dengan skuad Bafana Bafana.
“Apa yang paling penting adalah untuk turun beraksi dalam keadaan fizikal terbaik. Ada beberapa hari lagi sebelum perlawanan dan saya percaya barisan kejurulatihan memiliki ramuan terbaik untuk menewaskan Afrika Selatan,” ujarnya. – AGENSI














