fbpx
ENGLAND memburu kemenangan kedua berdepan Ghana selepas berjaya mencatat kemenangan pada aksi pertama berdepan Croatia. - AFP

Piala Dunia 2026: Tuchel ‘buang’ status bintang pemain England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BOSTON – Pengurus England, Thomas Tuchel mengambil langkah berani membina kaedah latihan lebih keras buat pemain bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia untuk harungi perlawanan kedua Kumpulan L menentang Ghana di Stadium Boston, awal pagi esok.

Penyerang The Three Lions, Ollie Watkins mendedahkan, Tuchel tidak mempedulikan status bintang para pemain England sebaliknya sentiasa menjerit ke arah mana-mana pemain yang gagal mengikut arahannya ketika latihan.

“Saya fikir dia (Tuchel) tidak takut untuk menjerit ke arah pemain kerana dia sentiasa menuntut sesuatu dan meminta kami melakukannya (permintaannya) setiap hari. Itu menunjukkan mentaliti juara yang beliau miliki.

“Dia juga sentiasa memacu standard yang dimahukan dan memastikan kami mampu melakukannya. Itulah yang kami perlu lakukan kerana matlamatnya adalah memenangi Piala Dunia,” katanya.

Watkins juga mengakui dia tidak mampu untuk meniru penyerang utama, Harry Kane, namun bertegas dirinya sentiasa bersedia untuk memainkan peranan sebagai ‘super sub’ seperti yang dilakukan pada Euro 2024.

“Rekod jaringan menjelaskan tentang dirinya (Kane), dia seorang yang unik dan saya tidak boleh meniru apa yang dia lakukan. Kami ada kekuatan berbeza dan saya akan berpegang dengan apa yang saya mampu lakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus England, Thomas Tuchel memberi bayangan bahawa pemain sayap, Bukayo Saka berkemungkinan besar tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Ghana.

Walaupun pemain Arsenal itu berjaya memberikan impak dengan menjaringkan gol selepas masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan pembukaan menentang Croatia, minit permainannya masih perlu dipantau dan diuruskan dengan berhati-hati.

Langkah tersebut diambil kerana beliau masih berdepan masalah pada tendon Achilles yang berlarutan dan pasukan kejurulatihan tidak mahu mengambil risiko dengan memaksanya bermain terlalu lama atau terlalu kerap. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN