KULIM – Tindakan mencurigakan sepasang kekasih yang dilihat berulang kali keluar masuk tandas sebuah surau di Kampung Tok Rasul, Kilang Lama di sini akhirnya membongkar perbuatan tidak bermoral mereka apabila dicekup awal pagi ini.
Remaja lelaki dan perempuan berusia 18 dan 15 tahun itu dicekup penduduk ketika berada di tandas tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, tangkapan itu dibuat selepas kegiatan mereka dihidu penduduk yang curiga dengan kehadiran pasangan tersebut di kawasan surau pada lewat malam.
Katanya, orang awam yang berniaga berhampiran lokasi memaklumkan beberapa kali melihat pasangan itu memasuki kawasan surau pada awal pagi sehingga menimbulkan syak wasangka.
“Penduduk yang membuat pemeriksaan mendapati pasangan itu berada di dalam tandas surau dalam keadaan separuh bogel sebelum memaklumkan kepada pengerusi surau dan penguat kuasa agama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati remaja lelaki berasal dari Sungai Kob, di sini dan bekerja sebagai peniaga nasi lemak serta mengaku masih bujang.
“Remaja perempuan yang berusia 15 tahun pula berasal dari Changlun. Remaja itu sudah tidak bersekolah dan tinggal bersama ibu saudaranya di Sungai Ular. Mereka mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram,” katanya. – KOSMO! ONLINE














