fbpx
Anggota bomba memadamkan kebakaran di SK Parit Serong, Tanjong Karang.

Pejabat, unit sumber SK Parit Serong terbakar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Dua bilik di bangunan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong, Tanjong Karang dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa kerana kawasan sekolah berkenaan tidak beroperasi ketika kebakaran berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, seramai 13 anggota dan pegawai daripada tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi pemadaman itu. 

Katanya, ini melibatkan BBP Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sungai Besar dengan mendapati kebakaran melibatkan bangunan sekolah jenis kekal.

“Siasatan mendapati kebakaran melibatkan dua bilik iaitu bilik pentadbiran dan bilik unit sumber dengan keluasan keseluruhan kira-kira 60 x 25 kaki persegi.

“Pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan air daripada pili bomba berhampiran dengan tiga aliran sepanjang 200 kaki serta tiga pancutan nozel,” katanya hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 1.13 pagi sebelum kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Beliau berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut dimaklumkan untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik sebagai langkah keselamatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.56 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN