BANGKOK – Pengguna jalan raya di Thailand terkejut melihat seekor ular sawa gergasi menyusur perlahan di sebatang jalan kerana terlalu kenyang selepas menelan seekor anjing, lapor portal berita The Cooldown.
Penemuan mengejutkan itu dibuat di daerah Muang Phon, wilayah Khon Kaen, baru-baru ini.
Polis dan pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai seekor ular sawa gergasi yang muncul di jalan tersebut, lapor akhbar Bangkok Post.
Reptilia itu dikesan melingkar di kawasan belukar belakang sebuah hotel.
Seramai 10 orang diperlukan untuk menangkap ular sawa sepanjang 3 meter itu sebelum memindahkannya ke hutan jauh dari kawasan perumahan.
Proses penangkapan itu jauh lebih mudah daripada biasa kerana reptilia berkenaan sukar bergerak, dipercayai baru menelan seekor anjing dan haiwan lain.
Ketua Daerah Muang Phon, Kittichote Triamvejwutikrai berkata, operasi menyelamat berakhir tanpa sebarang kecederaan kepada pasukan mahupun ular tersebut. – AGENSI














