fbpx
KIa Carnival versi facelift 2026 merupakan model pemasangan tempatan yang dilancarkan pada Januari lalu.

Kia Carnival MPV premium dengan jiwa SUV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KIA Carnival ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran Kia Corporation dari Korea Selatan yang mula diperkenalkan pada tahun 1998.

Apa yang paling menarik, Kia Carnival telah mengubah persepsi ramai terhadap MPV dan menjadi salah satu model kenderaan keluarga paling berjaya dalam sejarah Kia.

Walaupun bersaing dengan jenama MPV dari Jepun yang dikatakan eksklusif dan lebih premium, Kia Carnival membuktikan pilihan pelanggan bukan sekadar pada jenama atau status, tetapi elemen praktikaliti dan keselesaan yang ditawarkan.

Sejak pelancaran generasi keempatnya pada 2022, Kia Carnival sudah mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri dan sering digelar sebagai ‘MPV yang tidak kelihatan seperti MPV’ kerana reka bentuknya.

Dari sudut pemanduan, model ini menawarkan karakter yang lebih hampir kepada kenderaan utiliti sukan (SUV).

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh Kia Sales Malaysia (KSM) untuk memandu uji Kia Carnival facelift 2026 selama lima hari bagi merasai sendiri pengalaman pemanduan dengan MPV ini.

Kia Carnival 2026 telah dilancarkan pada 15 Januari lalu dengan penampilan yang lebih matang menerusi model pemasangan tempatan (CKD) ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.2D 11 tempat duduk pada harga RM188,888 dan 2.2D tujuh tempat duduk pada harga RM248,888.

Walaupun memiliki saiz badan yang besar, penulis sebagai pemandu wanita tidak berasa kekok memandu Kia Carnival kerana jentera ini dilengkapi kamera 360 darjah dan teknologi yang ada memberi keyakinan kepada pemanduan.

Apabila dipandu, stereng MPV ini terasa ringan tetapi tepat, manakala talaan suspensinya cukup seimbang untuk menyerap permukaan jalan yang tidak rata tanpa mengorbankan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan lebuh raya.

Penulis memulakan perjalanan dari Naza Tower, Kuala Lumpur menghala ke Seremban, Negeri Sembilan melalui lebuh raya sebelum bergerak melalui jalan kampung ke Jelebu bagi merasai laluan kampung dan berbukit.

Untuk perjalanan jarak jauh, Kia Carnival benar-benar menyerlah, bunyi dari luar kabin dikurangkan dengan baik menjadikan suasana dalam kenderaan lebih tenang dan santai.

Ruang kabinnya luas dengan tempat duduk baris keduanya dilengkapi kerusi ‘Relaxation Premium’.

Ruang kabin yang luas pula memberi kebebasan kepada setiap penumpang untuk bergerak tanpa rasa sempit, sesuatu yang amat dihargai ketika pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga.

Kia Carnival yang dipandu uji oleh penulis mempunyai konfigurasi tujuh tempat duduk 2-2-3 amat selesa digunakan sebagai kenderaan ‘balik kampung’ premium serta boleh dijadikan ‘van premium’ untuk syarikat.

Jika dibandingkan dengan sesetengah MPV dari China yang lebih menumpukan kepada lambakan teknologi atau model Jepun yang terkenal dengan kebolehpercayaan, Kia Carnival mempunyai kelebihan tersendiri melalui keseimbangan yang ditawarkan.

Ia bukan sahaja tampil dengan reka bentuk premium, malah berjaya memberikan pengalaman pemanduan yang lebih matang dan selesa.

Bagi penulis sendiri, bahagian yang paling digemari dalam Kia Carnival ialah ruang tempat duduk baris kedua dengan kerusi ‘Relaxation Premium’ dan fungsi gelongsor sisi pada baris kedua.

Kerusi di bahagian tengah ini direka dengan struktur yang sangat ergonomik, menawarkan sokongan yang baik pada bahagian belakang badan dan paha.

Kusyen yang lembut tetapi tidak terlalu tenggelam menjadikan penumpang kekal selesa walaupun selepas berjam-jam berada di atas jalan raya.

Malah, kedudukan tempat duduk yang sedikit tinggi memberikan pandangan yang lebih luas ke hadapan, seolah-olah sedang duduk di dalam sebuah SUV mewah.

Ruang kaki yang lapang serta kemudahan untuk melaras posisi tempat duduk menjadikan pengalaman sebagai penumpang sesuatu yang sukar dilupakan.

Dari segi prestasi, Kia Carnival 2026 menggunakan enjin 2.2 liter Smartstream turbodiesel empat silinder yang menjana kuasa 202PS serta tork maksimum 440Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan pacuan roda hadapan, selain menawarkan penggunaan bahan api gabungan sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut kitaran NEDC.

Ia membolehkan MPV ini bergerak dengan pecutan lancar tanpa memerlukan tekanan berlebihan pada pedal minyak sekali gus mengurangkan keletihan ketika memandu.

Namun, angka di atas kertas bukanlah satu-satunya daya tarikan Kia Carnival.

Dari segi reka bentuk, MPV ini dibangunkan berasaskan falsafah ‘Opposites United’ Kia, bahagian hadapan tampil lebih berani menerusi gril lebar bersama bampar yang direka kemas untuk memberikan imej lebih garang dan aerodinamik.

Lampu nyalaan siang (DRL) dengan grafik ‘Star Map’ yang dipadankan bersama lampu utama menegak pula menyerlahkan elemen futuristik dan berteknologi tinggi.

Di bahagian belakang, Carnival menampilkan imej lebih elegan apabila tempat letak nombor pendaftaran dialihkan ke bawah pintu but, sekali gus menghasilkan rekaan yang lebih seimbang. Lampu belakang turut menerima sentuhan grafik ‘Star Map’ yang menyeragamkan identiti visual model ini.

Kia Carnival 2026 bukan lagi sekadar pilihan untuk keluarga besar tetapi kini berada dalam kategori MPV premium, sesuai untuk golongan profesional, ahli perniagaan mahupun ibu bapa yang mengutamakan keselesaan keluarga tanpa perlu beralih kepada SUV bersaiz besar.

Kesimpulannya, Kia Carnival 2026 membuktikan bahawa sebuah MPV tidak semestinya membosankan.

Dengan prestasi yang meyakinkan, keselesaan bertaraf premium dan pengalaman pemanduan yang menyerupai SUV, model ini mempunyai daya tarikannya sendiri dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh bersama keluarga, Kia Carnival bukan sekadar alat pengangkutan sebaliknya sebagai ruang rehat bergerak yang menjadikan setiap destinasi terasa lebih dekat dan perjalanan lebih bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN