JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mengesahkan dia akan terus berada di Malaysia sekurang-kurangnya sehingga Sukan Asia selepas menamatkan pengajian dan karier di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
Pelari berusia 22 tahun itu berkata, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan selain meluangkan masa bersama keluarga yang sudah lama ditinggalkan sepanjang berada di luar negara.
“Insya-Allah saya akan kekal di Malaysia sehingga Sukan Asia. Saya masih menjalani program latihan yang disediakan jurulatih di Amerika Syarikat, Ken Harnden, tetapi di sini saya akan dipantau sepenuhnya oleh jurulatih, Amir Izwan,” katanya.
Menurut Azeem, dia turut merancang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana, namun perkara itu bukan keutamaan ketika ini kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada karier olahraga.
“Saya mungkin akan sambung pengajian peringkat Master selepas ini, tetapi bukan sekarang. Saya mahu berehat seketika daripada akademik dan fokus 100 peratus kepada sukan terlebih dahulu,” ujarnya.
Azeem percaya kepulangannya ke tanah air mampu memberikan suntikan motivasi baharu selepas berjaya menyamai rekod kebangsaan beberapa minggu lalu, selain meningkatkan keyakinan menjelang kejohanan-kejohanan utama yang bakal diharungi.
Selepas ini, tumpuan Azeem terarah kepada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di China pada awal Julai yang dianggap sebagai pentas penting sebelum menghadapi cabaran lebih besar menjelang Sukan Asia.
Pada masa sama, Azeem turut membuktikan statusnya sebagai pelari terpantas negara apabila menjuarai acara 100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), kelmarin.














