VANCOUVER – Pertemuan antara Mesir dan New Zealand bakal menyaksikan aksi sengit apabila kedua-dua pasukan sekadar meraih satu mata pada aksi pertama masing-masing yang berakhir dengan keputusan seri.
Situasi itu menyaksikan kedua-dua pasukan sedar hanya kemenangan akan membuka laluan yang lebih luas untuk mereka berada di kedudukan yang lebih baik dan melepasi aksi peringkat kumpulan.
Turun dengan kelibat beberapa pemain bintang terutama Mohamed Salah, Mesir percaya mereka memiliki kelebihan, namun pengendalinya, Hossam Hassan enggan seluruh pasukan terlalu bergantung kepada pemain sayap tersebut.
“Seluruh dunia sedang menantikan wajah Mesir sebagai sebuah pasukan yang dihormati, dengan semua pemain termasuk Salah.
“Tetapi kami tidak mahu bergantung kepada seorang bintang sahaja. Kami mahu bergantung kepada pasukan secara keseluruhan dan bekerja dalam kerangka projek yang telah dirancang,” katanya.
Hasrat Hassan untuk membina pasukan bagi masa depan mampu direalisasikan sekiranya mereka berjaya menewaskan New Zealand, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
“Saya telah memberitahu rakyat Mesir bahawa kita perlu mempunyai identiti kebangsaan baharu untuk skuad kebangsaan. Kami cuba membentuk mentaliti pemain, mempersiapkan mereka dan membina keyakinan bahawa mereka adalah sebuah pasukan yang kuat,” jelasnya. – AGENSI














