fbpx
Impian kumpulan tempatan, Insomniacks akhirnya menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai artis pembuka tirai konsert 5SOS di Malaysia.

10 tahun menanti, Insomniacks akhirnya kongsi pentas dengan 5SOS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas lebih sedekad menjadikan kumpulan pop-rock Australia, 5 Seconds of Summer (5SOS) sebagai sumber inspirasi, impian kumpulan tempatan, Insomniacks akhirnya menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai artis pembuka tirai konsert 5SOS di Malaysia.

Kumpulan yang dianggotai Iskandar, Danial, Iqie dan Afiq itu bakal menghangatkan pentas selama dua malam iaitu pada 17 November dan 4 Disember depan, sekali gus menandakan pencapaian terbesar mereka sepanjang 10 tahun berkarya.

Menurut penganjur konsert, SAH Entertainment menerusi pengasasnya, Sufi Rashid, pemilihan Insomniacks bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan identiti muzik mereka mempunyai persamaan dengan 5SOS selain berkongsi kelompok peminat yang sama.

“Jika kita lihat perjalanan mereka, karakter, persembahan pentas dan muzik yang dibawa sememangnya sedikit sebanyak dipengaruhi 5SOS.

“Malah ramai peminat Insomniacks membesar dengan muzik 5SOS dan turut meminati kumpulan tersebut. Sebab itu saya rasa hubungan antara kedua-duanya sangat organik dan istimewa buat peminat di Malaysia,” katanya.

Sejak awal penubuhan, Insomniacks sememangnya dikenali sebagai peminat tegar 5SOS dan pernah menghasilkan beberapa lagu cover termasuk Broken Home serta Amnesia yang mendapat perhatian ramai.

Mengulas lagu yang paling sesuai untuk dihasilkan semula secara rasmi oleh Insomniacks, Sufi tanpa ragu-ragu memilih Amnesia.

“Sudah tentu Amnesia kerana lagu itu antara karya paling ikonik 5SOS dan ramai peminat mengaitkan lagu tersebut dengan Insomniacks,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sufi mengakui menghasilkan semula lagu artis antarabangsa yang memiliki kelompok peminat besar bukan satu tugas mudah kerana aspek kualiti perlu sentiasa dijaga.

“Cabaran terbesar adalah memastikan kualiti yang dibawakan mampu memenuhi jangkaan peminat artis asal.

“Bagaimanapun, Insomniacks melakukan tugas yang sangat baik sehingga ramai masih mengingati bagaimana mereka mengidolakan 5SOS. Itu yang menjadikan hubungan mereka dengan peminat 5SOS begitu kuat,” katanya.

Beliau turut percaya karya-karya cover yang pernah dihasilkan mampu menjadi jambatan untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada pendengar antarabangsa.

Ditanya mengenai kemungkinan kolaborasi antara kedua-dua kumpulan pada masa depan, Sufi optimis impian tersebut mampu direalisasikan.

“Kalau kolaborasi itu menjadi kenyataan, saya mahu melihat Insomniacks berdiri di atas pentas yang setanding dengan 5SOS.

“Mereka berbakat, merendah diri dan jauh daripada kontroversi. Saya percaya mereka mempunyai kemampuan untuk pergi lebih jauh dan mencipta identiti tersendiri,” katanya.

Peluang membuka tirai konsert 5 Seconds of Summer bukan sekadar pencapaian terbesar buat Insomniacks, malah menjadi simbolik kepada perjalanan mereka yang bermula sebagai peminat sebelum akhirnya berpeluang berkongsi pentas dengan kumpulan yang menjadi inspirasi utama mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN