PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang sanggup memegang tiang khemah daripada diterbangkan angin wajar dipuji apabila ia membuatkan jemaah lain dapat mendirikan solat Jumaat ketika hujan lebat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, semalam.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Pojiekawaguchi, insiden tersebut disedari apabila angin mula bertiup kencang ketika jemaah sedang menunaikan solat.
“Hari ini hujan sangat lebat di surau Jumaat Hospital UiTM Puncak Alam. Rasanya yang solat di luar semua basah lencun.
“Terima kasih kepada abang baju Melayu coklat itu. Masa semua dah solat, dia perasan khemah nak terbang. Dia belum mula solat lagi dan terus pegang khemah itu hingga imam dah tahiyat akhir,” katanya.
Menurutnya, tindakan spontan lelaki itu kemudiannya dibantu oleh seorang lagi jemaah berbaju hitam yang mengambil alih tugas memegang khemah berkenaan sebaik sahaja dia selesai mendirikan solat.
“Abang yang baju hitam pula pegang sementara dia habis solat. Terima kasih orang baik,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji keprihatinan kedua-dua individu tersebut yang mengutamakan kebajikan jemaah lain dalam situasi mencemaskan itu.
“Untung jemaah yang ada kat situ sebab kalau abang ni takde, dah terbang dah khemah tu,” kata Reenaich.
“Masih ada lagi orang yang prihatin terhadap orang yang mereka tak kenal. Terima kasih sebab bantu,” tambah Aenappppi.
View on Threads














