PETALING JAYA – Misi Diplomasi Madani Malaysia terus diperkukuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan beberapa siri pertemuan strategik di Persekutuan Rusia dan Turkmenistan bagi memperluaskan kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan yang memberi manfaat kepada negara.
Anwar berkata, lawatan kerja di Kazan, Rusia dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pertemuan bersama Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov, penyertaan dalam Forum Perniagaan Rusia-ASEAN serta perbincangan empat mata dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menurut beliau, setiap ruang dan peluang di pentas antarabangsa diteroka bagi memastikan hasil kerjasama yang terjalin dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi untuk rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, misi di Kazan diisi dengan pelbagai siri perbincangan strategik yang cukup bermakna buat negara.
“Setiap ruang dan peluang di pentas antarabangsa ini diteroka dan dimanfaatkan sepenuhnya demi memastikan manfaat ekonomi kembali kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan dengan Putin, kedua-dua pemimpin membincangkan komitmen jangka panjang bekalan tenaga dan minyak selain meneroka kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, keselamatan siber, pertanian moden dan farmaseutikal.
Turut dibincangkan ialah cadangan pemansuhan visa, penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala serta sokongan Rusia terhadap pendirian Malaysia berkaitan isu Gaza dan Iran.
Sementara itu, pertemuan dengan Rais Tatarstan membuka peluang kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan industri halal selain meneroka potensi dalam industri hiliran, penapisan serta petrokimia.
Terdahulu, Anwar meneruskan lawatan rasmi ke Ashgabat, Turkmenistan bagi memperluaskan hubungan strategik antara kedua-dua negara menerusi pendekatan Diplomasi Madani.
Beliau berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan, malah mengeratkan persahabatan serta membuka ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Dalam lawatan itu, beliau turut meluangkan masa bertemu dan meraikan komuniti diaspora Malaysia di Turkmenistan yang disifatkan sebagai duta tidak rasmi negara di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














