fbpx
Awang Alik dan Zakaria hadir Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

Majikan tempatan dalang lindungi PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan lagi berkompromi terhadap majikan yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), apabila seramai 868 majikan telah dikenakan tindakan untuk tahun ini sehingga 15 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah itu, 825 majikan merupakan warga tempatan, manakala 43 lagi merupakan majikan warga asing.

Menurutnya, statistik tersebut membuktikan rakyat Malaysia sendiri menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kehadiran warga asing tanpa permit sah di negara ini.

“Apabila masyarakat melihat ramai warga asing berniaga atau bekerja secara haram, mereka sering mempersoalkan tindakan penguat kuasa. Namun hakikatnya, mereka ini digaji, dilindungi dan diberi ruang oleh majikan tempatan sendiri.

“Sebab itu kita tidak akan berkompromi lagi. Berdasarkan statistik 95 peratus merupakan majikan warga tempatan. Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa permit kerja atau pas yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 di Akademi Imigresen Malaysia, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, sehingga kini JIM telah melaksanakan sebanyak 5,430 operasi penguatkuasaan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 76,681 warga asing dan daripada hasil operasi itu, seramai 33,145 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN