fbpx
NOR terpaksa membesarkan anak-anaknya sendirian termasuk mendapatkan wang dengan mengambil upah menghantar anak jiran ke sekolah selepas suaminya culas sebagai ketua keluarga. – Ilustrasi Shah Hasan

16 tahun derita, wanita nekad tuntut cerai lepas difitnah curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMASUKI alam perkahwinan dengan harapan mendapat kemanisan hidup bersama insan tersayang merupakan impian setiap wanita. Namun bagi sebahagian wanita bergelar isteri, realiti yang terpaksa ditelan amat pahit apabila rumah tangga dibina bertukar menjadi medan menguji kesabaran tidak berkesudahan.

Itulah yang berlaku kepada seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nor.

Wanita berusia akhir 40-an itu nekad mengakhiri kisah duka perkahwinannya selepas 16 tahun hidup dalam penderitaan bersama insan disayangi.

Baginya, perpisahan merupakan jalan terbaik supaya tidak lagi hidup dalam ketakutan dan rasa tidak bersemangat.

“Saya bertahan selama 16 tahun demi anak-anak.

“Sepanjang tempoh itu, saya hanya berdiam diri dan makan hati.

“Suami tahu, saya tidak akan meninggalkannya kerana memikirkan anak-anak, jadi dia langsung tidak berubah, biarpun saya cuba berbaik-baik,” katanya kepada K-Wanita.

Dalam pada itu, Nor mengakui tanda amaran sudah kelihatan sejak fasa perkenalan lagi ketika dia berusia 23 tahun.

Namun, dia beranggapan bahawa lelaki akan berubah menjadi baik selepas berkahwin, dan ternyata tanggapan itu salah.

Sejak awal perkahwinan, semua keputusan dan masalah terpaksa diselesaikan oleh Nor sendirian. Malah dia sering dipersalahkan, walaupun suaminya adalah ketua keluarga.

Lama-kelamaan, sikap acuh tak acuh suaminya berubah menjadi lebih agresif, sekali gus meretakkan keharmonian rumah tangga mereka.

Lelaki yang dahulunya diharapkan menjadi pelindung, kini sudah berani memukul Nor setiap kali wanita itu cuba mempertahankan haknya.

Bukan itu sahaja, suaminya juga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain dan kerap tidak pulang ke rumah selama berhari-hari.

Akibat terlalu tertekan memikirkan kemelut yang tidak berkesudahan itu, keadaan diri dan fizikal Nor sebagai suri rumah mula terabai sehingga berat badannya naik mendadak.

Beban penderitaan Nor semakin parah apabila komitmen dan tanggungjawab suaminya kepada lima cahaya mata mereka turut diabaikan.

Nor langsung tidak diberi nafkah kewangan yang sewajarnya demi kelangsungan hidup.

Urusan sekolah anak-anaknya terpaksa ditanggung sendiri hingga dia terpaksa mencari inisiatif sendiri, termasuk melakukan servis menghantar anak jiran ke sekolah. Jika terlalu terdesak, dia terpaksa menebalkan muka berhutang dengan adik-beradik untuk membayar yuran sekolah anak-anak.

Tekanan hidup Nor bertambah apabila suaminya gemar berhutang sehingga pihak pengutip wang (along) sering datang menyerang rumah mereka.

“Paling menyedihkan, kami anak-beranak hanya makan nasi lauk telur setiap minggu kerana dia (suami) langsung tidak peduli. Saya juga pernah ditinggalkan bersendirian bersama lima anak ketika membeli baju raya kerana dia enggan menunggu lama,” luahnya sayu.

Meskipun setia, namun kesabaran Nor akhirnya runtuh juga apabila suaminya menuduh dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Nor sedar, segala pengorbanannya membesarkan anak-anak langsung tidak dihargai, lalu dia nekad memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah pada tahun 2016.

Walaupun dituduh curang, namun mahkamah mendapati Nor tidak bersalah kerana tiada sebarang bukti kukuh.

Anak sulungnya yang berusia 15 tahun turut menjadi saksi penderitaan ibunya, dan bersetuju dengan perpisahan tersebut.

Ujian Nor tidak terhenti di situ apabila bekas suaminya menyebarkan fitnah kononnya Nor menjadi punca perceraian mereka.

Ini menyebabkan Nor dipandang serong dan dipulaukan oleh adik-beradik sendiri.

Malah, abang kandung Nor tergamak melamparkan kata-kata kesat kepadanya.

“Saya tidak kisah pandangan orang luar, asalkan anak-anak tahu perkara sebenar. Sehingga kini, aib bekas suami tetap saya simpan kemas,” jelasnya.

Kini, kehidupan Nor jauh lebih tenang dan bahagia kerana segala urusannya dipermudahkan oleh Allah SWT. Malah kini, dia berpeluang mencipta lebih banyak memori indah bersama anak-anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN