PETALING JAYA – Seekor kucing bernama Mika menarik perhatian pengguna media sosial apabila menjadi penghuni hotel kucing di sebuah premis di Kelantan, selama tiga tahun enam bulan dengan bil mencecah RM21,500.
Menerusi hantaran Thread pemilik hotel kucing tersebut, Areyurahim, Mika diletakkan di hotel tersebut oleh pemiliknya memandangkan dia perlu kerja luar kawasan di Kuala Lumpur, namun sering bertemu Mika sekiranya pulang ke Kelantan.
Katanya, pemilik kucing tersebut tidak pernah culas melaksanakan bil hotel haiwan kesayangannya pada setiap bulan.
“Kami kakak-kakak staf sedih semalam sebab penghuni hotel paling lama telah balik pada tuan dia. Jumlah bil hotel keseluruhan RM21,500. Pemilik hotel tinggalkan selama tiga tahun enam bulan di hotel kucing Pusak Pethouse Kelantan, bil hotel tak pernah tinggal bayar setiap bulan.
“Semalam datang ambil dah, alhamdulillah Mika gembira dapat balik rumah dia semula. Pemilik kena outsation (kerja luar) Kuala Lumpur. Jarang-jarang dapat balik dan selalu jengah Mika di hotel,” katanya.
Menjawab pertanyaan pengguna Thread lain, wanita itu memaklumkan Mika telah dimandulkan, malah berat kucing itu juga meningkat selama tiga tahun lebih tinggal di hotel.
“Masa datang berat Mika dah 4 kilogram, tapi lebih tiga tahun lebih, berat Mika 7 kilogram,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Thread, selain ada yang memahami tindakan pemilik tersebut.
“Bagus tuan dia walaupun tak boleh jaga atas sebab tertentu, tapi masih ada hati perut letak di hotel kucing. Yang ramai kat Malaysia ni bila ada kesusahan sikit, terus buang kucing,” komen pengguna Thread Mybosses.
“Bagus pemilik dia, saya dulu pernah ambil kucing jalanan sakit tak boleh jalan. Lepas tu letak dekat klinik hampir sebulan sebab kalau letak kat rumah, tak ada siapa jaga. Nampak sedih staf situ walaupun baru sebulan,” komen Erik Foodie.
“Bagusnya pemilik Mika, tak ada lah terbiar ke lepas kat luar. Elok macam ni hantar boarding school (sekolah berasrama), kucing terjaga. Ada teman main,” komen Gnaameera secara berseloroh. – KOSMO! ONLINE














