MORRISTOWN – Brazil diingatkan supaya tampil membuktikan reputasi besar mereka selepas aksi hambar ketika seri 1-1 dengan Maghribi pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2026.
Pertahanan berpengalaman, Danilo menegaskan skuad Selecao perlu berani menilai kelemahan sendiri jika mahu kembali berada di landasan tepat menjelang pertemuan menentang Haiti, esok.
Menurutnya, keputusan seri itu seharusnya menjadi amaran awal buat Brazil bahawa nama besar dan sejarah gemilang tidak lagi menjamin kemenangan di pentas tertinggi bola sepak dunia.
“Kami perlu berterus terang. Cara terbaik untuk memperbaiki keadaan adalah dengan berdepan realiti dan menilai secara jujur segala yang telah berlaku.
“Kami perlu sedar bahawa persembahan pada separuh masa pertama ketika menentang Maghribi langsung tidak mencapai tahap kemampuan sebenar kami dan apa yang diharapkan daripada pasukan kebangsaan Brazil,” katanya.
Danilo turut mempertahankan pendekatan jurulatih, Carlo Ancelotti yang sering membuat perubahan mengikut lawan dan situasi perlawanan, sambil menegaskan ia sudah menjadi sebahagian daripada bola sepak moden.
“Setiap pasukan mempunyai kumpulan pemain teras. Biasanya ada enam, tujuh atau lapan pemain yang sentiasa bermain, manakala beberapa lagi akan berubah mengikut lawan dan strategi,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu mengakui masih terdapat beberapa posisi yang belum dimuktamadkan Ancelotti menjelang aksi menentang Haiti meskipun sebahagian besar kesebelasan utama sudah dikenal pasti.
Brazil kini berada di bawah tekanan untuk kembali mencatat kemenangan selepas terlepas peluang mengutip tiga mata penuh ketika menentang Maghribi, manakala Haiti turut memburu mata pertama selepas tewas 0-1 kepada Scotland pada aksi pembukaan kumpulan. – AGENSI














