fbpx
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Pemimpin perlu berfikir panjang sebelum bertindak – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa sesebuah negara boleh menerima kesan buruk apabila pemimpin bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan emosi tanpa pertimbangan matang.

Baginda mengingatkan bahawa keputusan yang dibuat secara terburu-buru demi kepentingan jangka pendek akhirnya menyebabkan rakyat tidak berdosa terpaksa menanggung akibat serta kos yang mahal.

“Amatlah malang bagi sesebuah negara dan bangsa apabila berlakunya suasana pemimpin memilih bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan hati dan pengaruh emosi, lalu bertindak secara terburu-buru tanpa berfikir panjang,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan, di Masjid Putra, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, hijrah Rasulullah SAW bukanlah satu tindakan yang dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya dirancang dengan penuh teliti dan berhati-hati.

“Baginda menyusun perjalanan secara strategik dengan memilih laluan yang selamat, membuat persediaan rapi, mendapatkan maklumat risikan serta mengambil kira pelbagai risiko yang mungkin dihadapi.

“Langkah ini membuktikan bahawa kejayaan sesuatu perubahan memerlukan perancangan yang matang dan pertimbangan yang menyeluruh,” titahnya.

Titahnya, kisah itu menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf kepakaran, integriti dan amanah seseorang tanpa prejudis terhadap latar belakang agama, selagi tidak memudaratkan umat Islam.

Pada masa yang sama, titahnya peristiwa hijrah mengajar bahawa seorang pemimpin perlu bersikap tenang, terbuka dan berhati-hati dalam membuat keputusan, berasaskan maklumat yang mencukupi serta pertimbangan yang rasional demi mencapai matlamat yang terbaik.

Baginda berkata, tiga pengajaran lain yang boleh diambil daripada perjalanan hijrah Rasulullah SAW termasuk kesanggupan melakukan pengorbanan, perpaduan serta kerjasama membina kekuatan dan tawakal kepada pertolongan Allah.

“Pengorbanan merupakan faktor asas kepada setiap kejayaan besar, sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat sanggup meninggalkan kampung halaman, harta benda serta keselesaan hidup demi mempertahankan akidah dan menegakkan kalimah tauhid.

“Pada masa sama, golongan Ansar turut mempamerkan semangat pengorbanan apabila menerima serta membantu Muhajirin dengan berkongsi harta dan sumber kehidupan.

“Semangat pengorbanan yang semakin kabur dalam kalangan ummah perlu dihidupkan semula dan dijadikan budaya hidup demi memastikan kelangsungan negara berdepan cabaran dunia yang semakin mencabar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN