![]() |
Data baharu daripada Thunes dan Juniper Research mendedahkan kebuntuan fragmentasi pembayaran global yang serius: 82% pengguna yang bergantung pada kiriman wang menghadapi masalah akibat kelewatan atau caj tersembunyi
SINGAPURA, 16 Jun 2026 /PRNewswire/ — Sistem pembayaran global yang berpecah-pecah mendorong pengecualian kewangan, sekali gus membebankan golongan paling rentan di dunia dengan ‘cukai geseran’ dalam bentuk caj tinggi dan kelewatan.
Menurut Indeks Kesalingoperasian Pembayaran Rentas Sempadan Thunes, yang dihasilkan dengan kerjasama Juniper Research, satu daripada tiga penerima kiriman wang, atau 33%, berdepan kesukaran membayar makanan, sewa atau utiliti kerana dana antarabangsa penting yang dihantar kepada mereka terperangkap dalam sistem yang berpecah-pecah.
Penemuan itu menonjolkan kesan dunia sebenar akibat fragmentasi global, apabila kelewatan pembayaran secara langsung mencetuskan tekanan kewangan, ketidakstabilan dan peluang yang terlepas. Penyelidikan tersebut, berdasarkan tinjauan terhadap lebih 6,500 individu di 10 pasaran utama, menunjukkan wujudnya kebuntuan fragmentasi struktur di tengah-tengah ekonomi global: ketika sistem pembayaran domestik sudah menjadi segera, rangkaian yang menghubungkannya merentas sempadan gagal bergerak seiring.
Kos Kemanusiaan Akibat Kelewatan Pembayaran
Laporan itu menekankan bahawa bagi mereka yang bergantung pada pembayaran antarabangsa, kesannya jauh melangkaui sekadar kesulitan.
- Kesan terhadap Akses kepada Keperluan Asas: 82% penerima mengalami sekurang-kurangnya satu masalah seperti terlepas pembayaran makanan, sewa atau bil utiliti, mengalami tekanan, atau terpaksa menolak kerja akibat kelewatan, caj atau ketidaktentuan berkaitan kiriman wang.
- Kesan terhadap Kesihatan Mental: 42% pengguna melaporkan mengalami tekanan atau keresahan akibat kekurangan ketelusan dan kelajuan dalam transaksi rentas sempadan mereka.
- Defisit Ketelusan: 41% pengirim masih berdepan jumlah akhir yang ‘mengejutkan’, iaitu kekurangan kejelasan yang paling memberi kesan kepada pengguna muda berusia 18 hingga 24 tahun, dengan 49% melaporkan ketiadaan sepenuhnya kejelasan kos awal.
- Risiko terhadap Kelangsungan Hidup: Dalam kalangan pengguna rentan yang bergantung pada kiriman wang, 33% sukar membayar keperluan asas, 33% meminjam wang jangka pendek untuk menampung perbelanjaan, dan 23% mengalami hubungan yang tegang akibat isu pembayaran.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Thunes, Chloe Mayenobe berkata: "Data ini mendedahkan satu hakikat yang keras: ‘cukai geseran’ rentas sempadan ialah parasit kepada ekonomi global, dan kosnya ditanggung oleh mereka yang paling kurang mampu menanggungnya. Ketika pembayaran domestik sudah menjadi segera, sistem global kita masih terus terputus hubungan. Kesalingoperasian merupakan keperluan asas bagi kesaksamaan kewangan. Ketika kita secara kolektif berusaha mencapai sasaran kos kiriman wang G20, industri perlu mengutamakan usaha menamatkan kebuntuan fragmentasi ini."
Naib Presiden Penyelidikan Juniper Research, Nick Maynard berkata: "Apa yang jelas daripada penyelidikan ini ialah fragmentasi pembayaran bukan lagi sekadar cabaran infrastruktur; ia merupakan isu sosial dan ekonomi yang mempunyai kesan kemanusiaan sebenar. Walaupun rangkaian pembayaran domestik telah berkembang untuk menawarkan kelajuan dan kemudahan, transaksi rentas sempadan masih dikekang oleh sistem yang tidak saling terhubung, sekali gus mewujudkan kos, kelewatan dan ketidaktentuan yang tidak perlu. Bagi jutaan individu yang bergantung pada kiriman wang untuk menampung perbelanjaan harian, ketidakcekapan ini bertindak sebagai ‘cukai geseran’ tersembunyi. Industri telah mencapai kemajuan besar dalam memodenkan pembayaran, namun mencapai kesalingoperasian sebenar merentas sempadan kini menjadi antara keutamaan paling penting bagi membangunkan sistem kewangan global yang lebih inklusif."
Muat turun laporan penuh: Indeks Kesalingoperasian Pembayaran Rentas Sempadan Thunes (The Thunes Cross-border Payments Interoperability Index).
Metodologi
Penyelidikan itu adalah berdasarkan tinjauan pengguna secara dalam talian yang dijalankan oleh Juniper Research pada April 2026, merangkumi pandangan mengenai pembayaran rentas sempadan daripada pengguna dan bukan pengguna perkhidmatan pindahan wang antarabangsa. Sebanyak 6,763 respons memenuhi semua kriteria kualiti dan saringan, lalu dimasukkan dalam analisis. Responden mewakili pelbagai tahap pendapatan merentas 10 pasaran: Amerika Syarikat, Brazil, Arab Saudi, China, India, Filipina, United Kingdom, Jerman, Afrika Selatan dan Nigeria.
Selain tinjauan tersebut, Indeks Kesalingoperasian Pembayaran telah dibangunkan untuk menilai sejauh mana pembayaran boleh dilakukan dengan mudah merentas sempadan. Indeks itu menilai pasaran merentas lima dimensi teras, menggunakan penunjuk yang diperoleh daripada sumber mantap termasuk World Bank Global Findex Database 2025 dan data kos kiriman wang Bank Dunia, seperti penunjuk SmaRT suku tahunan yang menjejaki kos penghantaran USD200 di peringkat antarabangsa.
Maklumat tentang Thunes
Ketahui lebih lanjut tentang Thunes: https://www.thunes.com.
Maklumat tentang Juniper Research
Ketahui lebih lanjut tentang Juniper Research: www.juniperresearch.com.
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4983688_MS83688_6















