KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) belum berbincang atau menamakan calon tertentu untuk diangkat sebagai ‘poster boy’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai depan.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, proses saringan calon ketika ini sedang dilakukan oleh parti-parti dalam gabungan itu.
“Kita (PH) akan umum calon apabila parti sudah membuat keputusan. Proses saringan itu telah berjalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan mengatakan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik akan bertanding pada PRN Johor sekali gus menjadi ‘poster boy’ sekiranya PH mentadbir negeri itu.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi berkata, pemilihan Onn Hafiz yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri Machap tersebut berikutan pertimbangan kepimpinan parti serta keyakinan terhadap kemampuan pentadbiran Johor sedia ada.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memberitahu, PH tidak akan mengambil mudah kehadiran parti-parti baharu seperti Parti Bersama Malaysia dan Parti Wawasan Negara.
Katanya, parti gabungan dalam PH seperti PKR, Parti Amanah Negara dan DAP perlu bekerja lebih kuat untuk mendekati sekali gus menyelesaikan masalah rakyat. – KOSMO! ONLINE














