fbpx
ONN HAFIZ berucap dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Profesional demi rakyat walau berbeza pandangan – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa perbezaan kedudukan dan kuasa antara pemimpin tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersama-sama berkhidmat demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, walaupun jawatannya sebagai Menteri Besar negeri mungkin tidak setinggi atau sebesar Menteri Pengangkutan, Athony Loke Siew Fook dari segi bidang kuasa dan peruntukan, tanggungjawab kepada rakyat tetap sama.

“YB Menteri, mungkin kita ada perbezaan dalam banyak perkara. Ya, mungkin saya tak berapa tinggi kalau nak dibandingkan dengan YB Menteri yang jauh lebih besar.

“Besar dari segi kuasanya, besar dari segi peruntukannya. Namun begitu, saya percaya serendah atau sebesar mana pun kedudukan kita, amanah seorang pemimpin tetap sama iaitu bekerja demi kepentingan rakyat dan memudahkan kehidupan mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, di sini hari ini yang turut dihadiri Anthony Loke.

Onn Hafiz berkata, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa perkara, Kerajaan Negeri Johor akan terus bekerjasama secara profesional dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap projek yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurutnya, pendekatan profesional perlu dikekalkan khususnya dalam usaha menangani isu pengangkutan awam dan kesesakan trafik yang menjadi antara cabaran utama di Johor Bahru.

Beliau turut menegaskan kejayaan sesuatu projek bukan bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya hasil kerjasama pelbagai pihak yang berkongsi matlamat sama untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan pelaksanaan projek Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) yang dilihat sebagai komponen penting dalam melengkapkan rangkaian pengangkutan awam selepas operasi RTS Link kelak.

Katanya, rakyat tidak menilai siapa yang paling banyak membuat pengumuman, sebaliknya menilai kemampuan pemimpin dalam menyampaikan hasil dan penyelesaian yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Di situlah sebenarnya rendah atau besarnya seseorang pemimpin dinilai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN