fbpx
KHADIJAH dipapah ahli keluarga selepas selesai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1 dekat Bentong, kelmarin.

‘Mak masih tercari-cari cucu dan cicitnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Kemalangan yang meragut empat nyawa di Kilo­meter 43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat Bukit Tinggi kelmarin meninggalkan kesan mendalam buat seorang warga emas apabila kehilangan tiga generasi dalam sekelip mata.

Khadijah Md. Daud, 75, masih sukar menerima kehilangan empat sekeluarga itu dan se­ring tercari-cari cucu dan cicit yang sebelum ini menceriakan hari-harinya.

Menceritakan keadaan itu, Rozaidah Buang, 44, berkata, ibunya mula mencari-cari ci­citnya, Nayla Afya Aizat Faizal yang berusia setahun sejak pagi semalam.

“Emak memang rapat dengan cucu dan cicit sebab tinggal bersama. Mereka menjadi teman harian mak di rumah tambahan pula Nayla Afya baru pandai bertatih. Sekarang setiap sudut rumah mengingatkan emak kepada mereka.

“Kami faham mak masih terkejut dan sedih kerana mereka yang pergi bukan sekadar anak, cucu cicit, tetapi teman yang sentiasa berada di sisi mak setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan, empat maut selepas kereta jenis Honda City yang mereka naiki remuk teruk selepas dihempap treler membawa muatan habuk kayu di Lebuhraya KLK di sini.

Kejadian pukul 4.30 petang itu mengorbankan A. Halim Hasoon, 55, bersama isterinya, Rozita Buang, 58, anak, Norbahyah A. Halim, 26, dan cucu, Nayla Afya

Menurut Rozaidah, arwah Rozita menjaga ibu mereka le­bih tiga tahun lalu selepas kembali menetap di Felda Mempaga 1.

Katanya, rumah mereka sentiasa meriah dengan gelak tawa ahli keluarga.

“Dua hari sebelum nahas, arwah Rozita berpatah balik untuk bertemu emak.

“Arwah pada mulanya telah bergerak sebelum teringat untuk menghantar pucuk paku dan buah kuini,” katanya.

Ujar Rozaidah, ketika itu dia patah balik untuk peluk dan cium emak sebelum beredar.

Tambahnya, emak tidak menyangka itu adalah pertemuan mereka yang terakhir.

Sementara itu, abang Rozita, Jamlus, 69, berkata, keluarga mahu pemandu lori positif syabu itu dikenakan tindakan tegas.

“Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan menyeluruh.

“Kami masih berbincang sama ada hendak mengambil tindakan undang-undang termasuk saman atau tidak kepada pemandu lori itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN