PETALING JAYA – “Semoga atuk terus kuat…”
Itulah harapan seorang wanita buat datuknya selepas kehilangan isteri tercinta yang meninggal dunia ketika lelaki warga emas itu sedang menunaikan solat.
Menurut wanita yang menggunakan profil @Ikajualproton di media sosial, datuknya sangat menyayangi neneknya sejak dahulu.
Menerusi video yang dikongsikan menerusi satu hantaran, jelas memaparkan raut wajah sedih dan kecewa lelaki itu selepas dimaklumkan isterinya telah meninggal dunia, sejurus selepas selesai solat.
“Nenek hembuskan nafas terakhir tepat masa atuk angkat takbir. Ibu biar atuk habiskan solat dulu. Habis je bagi salam, ibu terus bagitau atuk.
“Atuk memang sayang nenek sangat. Dari dulu sampai dah tua, atuk tak pernah berhenti manjakan nenek. Hari jadi pun masih nak buat kejutan untuk nenek.
“Semoga atuk terus kuat, dan semoga Allah tempatkan nenek dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Perkongsiannya itu meraih perhatian orang ramai yang rata-rata menzahirkan rasa sedih, selain terharu dengan hubungan baik pasangan berkenaan.
“Masih wujudkah pada zaman sekarang cinta seindah tu daripada seorang suami,” ujar @AcAp Bunny’s.
“Sangat bertuah nenek dapat atuk yang sayang sampai akhir hayat,” @Cik_Lyaa.
“Cinta sejati hingga akhir hayat. Salam takziah untuk awak sekeluarga,” ucap @Yah. – KOSMO! ONLINE














