fbpx
MOHAMMAD Shatar (kiri) bersama Ahmad Martadha (tengah) pada sidang akhbar di UUM, Sintok hari ini.

MQA sangkal tuduhan kursus IPT tidak penuhi kehendak industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINTOK – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menafikan dakwaan bahawa pendidikan tinggi negara tidak berkualiti, termasuk tuduhan program pengajian ditawarkan universiti gagal memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program-program yang ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di bawah akreditasi MQA adalah berkualiti serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Maksudnya kualiti kita ini diterima pakai oleh satu dunia dan sebab itu kelulusan-kelulusan kita ini kalau (graduan) nak melanjutkan pelajaran ke luar negara memang tidak ada masalah. Justeru tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahawa kualiti pendidikan dalam negara ini tidak berkualiti adalah tidak benar,” katanya pada sidang akhbar sebelum menyampaikan ceramah mengenai kebolehpasaran graduan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, di peringkat MQA sendiri, setiap program yang ditawarkan IPT wajib mendapatkan input daripada pihak industri.

“Sekiranya input daripada industri tidak dimasukkan, maka mereka tidak akan mendapat akreditasi. Jadi maksudnya dalam kata lain, semua program memang ada penglibatan dengan industri. Kita tahu ada sesetengah pihak di luar sana memainkan cerita-cerita yang tidak benar sehingga masyarakat merasa takut untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” jelasnya.

Mohammad Shatar bagaimanapun berkata, dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar ketika ini, pelajar disarankan menambah nilai dalam keupayaan diri.

“Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan itu sangat luar biasa kerana terlalu ramai orang yang bijak, maka dalam kalangan yang bijak itu, mereka perlu mempunyai nilai yang lebih daripada biasa.

“Antaranya adalah kemampuan pelajar-pelajar kita menguasai pelbagai bahasa, pastinya mereka mempunyai nilai tambah yang lebih luas selain mempunyai pemikiran kritis dan emosi yang stabil,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya sentiasa menambah baik kurikulum sedia ada mengikut kehendak industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi.

Kata beliau, UUM sentiasa memastikan program yang ditawarkan memenuhi keperluan semasa industri termasuk menerapkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam semua bidang pengajian selain mendapatkan pandangan industri secara berterusan melalui majlis perundingan yang diadakan tiga kali setahun.

Tambahnya, pihaknya juga menggalakkan semua pelajar mendapatkan sijil profesional sebagai nilai tambah untuk menarik perhatian majikan dan memperoleh pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN