TANAH MERAH – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menubuhkan Parti Wawasan Negara selepas dipecat Bersatu pada Februari lalu.
Hamzah membuat pengumuman itu semasa berucap pada Konvensyen Reset Malaysia di Tapak Ekspo Taman Harmoni di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Larut berkata, nama Parti Wawasan Negara itu diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.
“Ramai tanya saya, saya bersama Reset di bawah parti apa? Di sini, saya ingin umumkan bahawa saya akan bersama-sama dalam Parti Wawasan Negara.
“Nama itu diberi oleh Ayah Chik (Abdul Hadi). Parti ini baru dilahirkan dan baru bertatih. Kami mahu bersama-sama dengan Pas, Gerakan dan parti-parti lain. Insya-Allah, kita akan bersama-sama membentuk kesepakatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset Malaysia di Tapak Ekspo Taman Harmoni, di sini hari ini.
Pada konvensyen itu, bekas pemimpin Bersatu yang dipecat, digantung dan diberi amaran turut hadir memberi sokongan.
Pemimpin yang hadir antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. – KOSMO! ONLINE














