KOTA TINGGI – Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) akan memohon peruntukan dalam belanjawan tahun depan bagi memperluas penubuhan pejabat satelit Jabatan Bantuan Guaman di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif pejabat satelit yang bertindak sebagai cawangan itu amat penting berikutan kekangan jarak yang dihadapi sebahagian masyarakat untuk ke pejabat negeri.
Katanya, usaha itu bertujuan memastikan golongan rakyat, terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar dan jauh tidak terlepas daripada menerima perlindungan serta bantuan undang-undang yang sewajarnya.
“Kita tahu bahawa pejabat negeri itu ada yang 80 kilometer jauh. Saya maklumkan dalam ucapan saya bahawa bila bercakap tentang bantuan guaman, kita mesti memberikan perlindungan kepada rakyat supaya mereka mengetahui mereka ada hak untuk mendapat bantuan guaman,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Satelit Jabatan Bantuan Guaman Pengerang Johor di Mahkamah Pengerang, di sini hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, penubuhan pejabat satelit itu akan diintegrasikan bersama perkhidmatan bantuan guaman bergerak, Kembara Justice On Wheels sedia ada.
Katanya, kombinasi pejabat satelit dan van bergerak ini membolehkan operasi bantuan masuk lebih jauh ke kawasan kampung serta pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE














