PETALING JAYA – Seramai 1.88 juta rakyat Malaysia menerima manfaat menerusi program mySalam dengan jumlah tuntutan dibayar sebanyak RM1.423 bilion sejak 2019 hingga 31 Disember tahun lalu.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet, hari ini, termasuk kejayaan program berkenaan.
Beliau memaklumkan, program mySalam telah bermula pada tahun 2019 dengan dana sebanyak RM2.37 bilion kepada golongan yang layak.
“Ia meliputi para penerima Sumbangan Tunai Rahmah serta pasangan sehingga usia 65 tahun menerusi tiga bentuk manfaat antaranya hospitalisasi sebanyak RM50 sehari bagi maksimum tempoh 14 hari atau maksimum RM700 setahun.
“Kedua, sumbangan ataupun bantuan berjumlah sehingga RM8,000 secara one-off bagi penerima yang mengalami 50 penyakit kritikal yang telah disenaraikan dan ketiga, tuntutan kos peranti perubatan maksimum sehingga RM30,000,” jelasnya menerusi sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi menjelaskan, seramai 1.294 juta penerima menerima bantuan dengan jumlah bayaran sebanyak RM394.87 juta bagi bagi manfaat hospitalisasi.
Sementara bagi penyakit kritikal, seramai 89,085 penerima terlibat dengan jumlah sebanyak RM712.68 juta.
“Bagi peranti perubatan, seramai 13,128 penerima mendapat manfaat berjumlah RM65.257 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














