fbpx
Gambar hiasan

Dua anggota Malbatt cedera ringan akibat serangan udara di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 mengalami kecederaan ringan selepas konvoi logistik yang dinaiki mereka terkena kesan sampingan daripada satu insiden serangan udara berhampiran kawasan Haris di Lubnan pagi ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden yang berlaku pada pukul 9.25 pagi waktu tempatan itu berlaku kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin ketika konvoi Malbatt 850-13 sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.

Menurut beliau, kedua-dua anggota terbabit mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan cermin kenderaan susulan letupan yang berlaku berhampiran lokasi kejadian.

“Dalam kejadian itu, dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengalami kerosakan pada bahagian luaran.

“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) Malbatt 850-13 dari UNP 6-43 diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta menguruskan pemulihan kenderaan yang terjejas untuk dibawa pulang ke pangkalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan yang tiba di lokasi segera melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.

Katanya, kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan.

“Waris-waris anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan mengenai insiden ini,” ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, sebagai langkah memperkukuh keselamatan anggota, Malbatt 850-13 telah meningkatkan langkah berjaga-jaga termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi, mempertingkat pemantauan situasi keselamatan semasa serta memperkukuh koordinasi dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Selain itu, katanya, penilaian risiko yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin.

“Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia akan terus memantau perkembangan situasi keselamatan di kawasan operasi dan memastikan tahap kesiapsiagaan anggota berada pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman di Lubnan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN