FIKIRAN Saufi (bukan nama sebenar) melayang jauh apabila mengenang perjalanan rumah tangganya yang pernah dibina dengan penuh harapan.
Siapa sangka, isu yang pada mulanya kelihatan kecil, akhirnya menjadi jurang besar hingga memisahkan Saufi dan isterinya.
Bagi lelaki berusia 35 itu, dia melihat isterinya, Hana (bukan nama sebenar) sebagai seorang wanita yang lembut dan penyayang.
Namun selepas beberapa bulan hidup bersama, anak jati Simpang Renggam, Johor itu mula menyedari satu perkara yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini.
“Hana sangat memilih dalam bab makan. Dalam bahasa lain, dia sangat cerewet dan memilih makanan.
“Bukan sekadar tidak menyukai beberapa jenis lauk, malah dia ada senarai panjang makanan yang ditolak dan tidak akan disentuh atas pelbagai alasan,” katanya memulakan cerita kepada K-Wanita.
Menurut eksekutif perbankan di ibu kota itu, pada mulanya, dia menganggap masalah tersebut hanya perkara biasa.
Baginya, setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri. Jika isterinya tidak suka sesuatu makanan, dia hanya perlu mencari alternatif lain.
“Setiap kali pulang dari kerja, saya akan singgah membeli makanan kegemaran isteri. Ada masanya, saya kena memandu hampir sejam semata-mata untuk mendapat menu yang diminta.
“Saya melakukannya dengan ikhlas kerana mahu melihat isteri tersenyum dan bahagia,” katanya.
Namun ujar Saufi, keadaan tersebut mula berubah apabila kehendak isterinya semakin sukar dipenuhi.
Hana bukan sahaja memilih makanan, malah kedai, cara masakan dan kadangkala mahu makanan di satu tempat sahaja.
Jika menu yang diinginkan tidak ada, dia akan menolak semua pilihan lain, dan ada kalanya dia buang makanan ke dalam tong sampah sebagai tanda protes.
Sebagai suami, Saufi memahami keinginan isterinya, tetapi tidak semua kehendak wanita itu boleh dipenuhinya pada setiap masa.
“Ada hari tertentu kedai tutup, dan ada ketikanya makanan habis dijual. Malah ada masanya, kewangan mereka tidak mengizinkan.
“Apa yang lebih meresahkan, Hana mula menggunakan mogok lapar sebagai tanda protes kepada saya.
“Jika tidak mendapatkan makanan yang diinginkan, dia sanggup berlapar sepanjang hari dan berkurung di dalam bilik.
“Walaupun makanan lain tersedia di atas meja, namun dia langsung tidak menyentuh apatah lagi menjamahnya,” ujarnya.
Akui anak sulung daripada empat beradik itu, dia sering berasa serba salah melihat keadaan isterinya.
Sebagai suami, dia tidak sanggup melihat Hana menahan lapar. Namun pada masa sama, dia berasa letih kerana setiap hari perlu memenuhi kehendak yang semakin sukar.
“Saya bukan tidak mahu usaha. Tetapi saya juga manusia biasa. Ada masanya, saya tak mampu penuhi semua yang dia mahukan,” katanya.
Malangnya, alasan diberikan Saufi tidak banyak mengubah keadaan kerana Hana tetap dengan kehendak dan ‘kepala batunya’.
Menurut Saufi, Hana menganggap makanan bukan hanya soal mengisi perut, sebaliknya sesuatu yang memberi ketenangan dan kepuasan kepada dirinya.
Hari demi hari, isu makanan mula bertukar menjadi topik pertengkaran antara mereka. Situasi yang sepatutnya menjadi perbualan santai di meja makan sambil menikmati makanan bertukar kepada sesi perdebatan hangat.
Rumah yang dahulunya dipenuhi gelak tawa kini semakin sunyi, lebih-lebih lagi mereka masih belum dikurniakan zuriat.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Hana mula menjauhkan diri setiap kali berlaku perselisihan dengan Saufi.
Dia memilih untuk berdiam diri berhari-hari lamanya. Mogok lapar yang pada awalnya berlaku sekali-sekala, akhirnya menjadi perkara biasa yang sukar dihentikan.
Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk memperbaiki keadaan, hubungan yang dibina dengan penuh kasih sayang itu tidak mampu diselamatkan lagi.
Akhirnya, Saufi dan Hana memilih untuk berpisah di sebuah Mahkamah Syariah selepas menyedari terdapat jurang terlalu dalam yang sukar dirapatkan semula.
Bagi Saufi, perpisahan itu bukanlah kemenangan atau kelegaan, sebaliknya ia luka yang akan sentiasa meninggalkan parut dalam hidupnya.














