fbpx
Gambar kenangan Ahmad Syafiq (duduk, tiga dari kiri), Fahim (duduk, kiri) dan ibu mereka (duduk, dua dari kiri) yang dirakamkan pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu.

‘Hubungan kami adik beradik sangat rapat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – “Sebelum ini, kami sekeluarga termasuk ibu sering ziarah kubur arwah ayah setiap cuti hujung minggu, tetapi kali ini kami ziarah mereka pula.”

Itu kata Ahmad Amirul Aqmar Ahmad Shukri, 25, adik kelima kepada anggota polis, Lans Ko­peral Ahmad Shafiq, 29, yang maut bersama lima lagi ahli keluarganya dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Ahad lalu.

Selain Ahmad Shafiq, mang­sa lain ialah isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, dan bayi mereka, Ahmad Mikail berusia dua bulan, ibunya, Nora Mohd. Husin, 55, dan adik bongsu, Ahmad Fahim, 21, serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.

Ahmad Amirul berkata, hubungan mereka enam beradik sangat rapat dan seboleh-bolehnya mereka akan keluar bersama ke mana sahaja.

“Sebelum kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang Ahad lalu, arwah (Ahmad Syafiq) ada membuat panggilan video dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

“Dia ajak kami ke kubur ayah di Merbok, Kedah dan saya pula cadangkan ke kubur pada lewat petang hari sama.

“Sebelum ini, kami memang akan pergi ziarah kubur ayah beramai-ramai dari sini (Pulau Pinang) sejak arwah meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, kali terakhir mereka bercuti bersama keluarga kecil abang ketiganya itu pada Hari Raya Haji, minggu lalu.

“Kami balik kampung sebelah ibu di Kok Lanas, Kelantan dari 24 hingga 28 Mei lalu. Kami tinggal di hotel yang ditempahnya selama sehari dan juga di inap desa.

“Waktu itu, adik bongsu kami (Ahmad Fahim) tak ikut sebab bekerja. Cuma yang pergi hanya kami lima beradik bersama keluarga masing-masing dan juga ibu. Kami rakam banyak gambar kenangan,” ujarnya.

Katanya, Ahmad Shafiq yang juga anggota polis di Balai Polis Nibong Tebal baru dua tahun ditukarkan dari Papar, Sabar ke Pulau Pinang.

“Sebelum ini, arwah tinggal di berek polis dan berpindah ke rumah baharunya di Ara Kuda, Seberang Perai Utara, bulan lalu.

“Ibu dan adik bongsu tinggal dengan abang di rumah itu, manakala dua anak abang berusia tiga dan sebulan juga dijaga ibu di rumah mereka,” katanya.

Dalam nahas itu, enam sekeluarga maut, manakala seorang kanak-kanak parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang mereka naiki bertembung sebuah lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal.

Hanya seorang anak saudaranya iaitu Aulia Sofea, 3, yang juga anak Ahmad Shafiq cedera parah pada bahagian muka dan mene­rima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN