SAYA berumur 40 tahun dan telah bercerai. Mahkamah telah memutuskan saya idah sebanyak tiga kali suci, dalam perkiraan kitaran haid normal saya sepatutnya haid setiap bulan. Namun, sejak saya mengalami masalah kesihatan sehingga memerlukan pembedahan untuk membuang rahim dan ovari, saya mendapati kitaran haid tidak datang sehingga doktor mengesahkan saya sudah menopaus. Bagaimanakah idah wanita dalam keadaan seperti ini?
JAWAPAN: SECARA asasnya, wanita menopaus ini dipanggil ayisah dalam bahasa Arab. Menopaus atau putus haid dalam perbahasan fiqh dikaitkan dengan satu fasa atau umur haid seseorang wanita itu berhenti.
Dalam hal ini, syarak tidak menentukan umur putus haid secara khusus kerana ketiadaan nas yang menyebut tentangnya. Oleh itu, penentuan umur putus haid berdasarkan istiqra’ (pemerhatian). Umur putus haid berbeza daripada seorang wanita ke wanita yang lain. Ulama berselisih pendapat tentang umur putus haid kepada beberapa pandangan:
Menurut mazhab Hanafi, terdapat dua pendapat tentang had umur wanita putus haid iaitu pertama pada umur 50 dan kedua, pada umur 55 tahun. Pendapat ini berdasarkan riwayat Hasan daripada Abu Hanifah. Oleh itu, apabila seseorang melihat darah selepas umur ini tidak dihukumkan sebagai haid.
Menurut mazhab Maliki, had umur wanita putus haid adalah antara umur 50 sehingga umur 70 tahun. Sekiranya, wanita mendapati keluar darah selepas umur ini, maka darah tersebut dihukum istihadah.
Menurut mazhab Syafi’i, tiada had umur untuk keluar darah haid. Dalam erti kata lain, darah haid boleh keluar selagi wanita itu hidup. Ada pun umur kebiasaan wanita mengalami putus haid ialah 62 tahun.
Menurut mazhab Hanbali, had umur putus haid secara yakin adalah pada umur 60 tahun. Ada pun darah yang keluar dalam tempoh antara 50 sehingga 60, para ulama mazhab Hanbali berbeza pandangan.
Riwayat daripada Ahmad mengatakan, darah yang keluar tersebut (darah diragui hukumnya). Manakala, riwayat daripada Ishak bin Rahuwaih, darah yang keluar bermula umur 50 tahun ke atas adalah darah istihadah.
Sementara itu, terdapat dua jenis keadaan idah wanita menopaus iaitu pertama, iddah wanita menopaus yang kematian suami.
Tempoh idah bagi seorang wanita yang telah kematian suami sama ada masih haid mahupun menopaus adalah selama empat bulan 10 hari.
Kedua, idah wanita menopaus yang diceraikan suami. Sekiranya seorang wanita diceraikan oleh suaminya dalam keadaan sudah menopaus dan bukan disebabkan kematian suami, maka idah bagi wanita tersebut adalah selama tiga bulan.
Pembahagian ini juga termasuk bagi wanita yang pada awalnya masih mempunyai haid apabila diceraikan, namun atas faktor tertentu darah haid wanita tersebut tidak datang kembali atau suci dalam suatu tempoh sebelum usia menopaus.
Wanita ini dipanggil wanita murtabah atau mumtad tuhruha. Perkara ini boleh berlaku atas faktor umur dan biologi.
Contohnya, darah haid wanita terganggu dan terputus semasa fasa pramenopaus. Selain itu, terdapat wanita yang mengalami masalah kesihatan seperti terpaksa menjalani pembedahan Histerektomi (pembuangan rahim dan ovari) yang akan menyebabkan dia tidak akan mengalami haid selepas itu.
Berdasarkan pernyataan di atas, menurut pandangan mazhab Syafi’i yang muktamad, penentuan tempoh idah wanita yang haidnya datang lambat atau terputus haidnya kerana sebab diketahui mahupun tidak diketahui adalah dengan cara menunggu sehingga haid tersebut datang semula meskipun dalam tempoh lama untuk menyempurnakan idah tiga kali suci.
Atau sekiranya wanita tersebut tidak datang haid sehingga mencapai usia menopaus, maka dia beridah dengan kiraan tiga bulan.
Bagaimanapun, menurut fatwa lama imam al-Syafi’i, wanita murtabah ini perlu menunggu selama sembilan bulan. Menurut pandangan lain pula, wanita dalam keadaan ini perlu menunggu selama enam bulan atau empat tahun, kemudian beridah selepas (tempoh menunggu tersebut) dengan kiraan tiga bulan.
Berdasarkan pandangan di atas, tempoh menunggu sembilan bulan dan idah tiga bulan tersebut merupakan satu langkah berjaga-jaga bagi memastikan rahim wanita tersebut suci.
Ia juga merupakan langkah menghilangkan keraguan kerana umumnya kehamilan tidak berlangsung lebih dari itu.
Hal ini berbeza bagi wanita yang sudah menjalani pembedahan Histerektomi (pembuangan rahim dan ovari).
Apabila seseorang ini meyakini dirinya telah pun sampai ke fasa menopaus dan wanita tersebut telah mendapatkan pengesahan doktor pakar bahawa sudah menjadi wanita menopaus, maka tempoh idahnya bertukar daripada tiga kali suci kepada tiga bulan tanpa perlu menunggu.
Kesimpulannya, seseorang wanita yang pada asalnya mempunyai kitaran haid, kemudian dalam menjalani idah tersebut disahkan menopaus disebabkan penyakit atau mendapat rawatan tertentu seperti pembedahan pembuangan rahim dan ovari akan bertukar idahnya daripada tiga kali suci kepada tiga bulan (idah menopaus).
Namun, pengiraan idah tiga bulan tersebut hendaklah bersambung dan bermula semula selepas pengesahan tersebut dibuat oleh doktor pakar perubatan bagi menyempurnakan tempoh idah.














