fbpx
AZEEM bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada saingan Grand Final NCAA di Oregon yang bermula hari ini.

Azeem sedia gegar final NCAA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BINTANG pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi membuat persiapan paling rapi menjelang aksi paling penting dalam karier universitinya apabila bakal beraksi pada Grand Final NCAA di Oregon, Amerika Syarikat bermula hari ini hingga 13 Jun.

Selepas mencipta sejarah sebagai pelari Malaysia pertama mara ke final individu NCAA menerusi acara 100 meter (m), Azeem kini mengharapkan sokongan dan doa seluruh rakyat Malaysia untuk terus melakar kejayaan di pentas berprestij tersebut.

Menurut atlet berusia 22 tahun itu, tempoh kurang 10 hari lalu sudah dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan dia berada pada tahap terbaik ketika turun bersaing menentang barisan pelari terpantas dunia universiti.

“Saya mohon sekali lagi agar semua peminat sukan tanah air di Malaysia mendoakan kejayaan saya. Semoga saya dapat buat yang terbaik bukan sahaja untuk diri saya malah untuk negara kita, Malaysia. Insya-Allah,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial Olahraga Malaysia sebelum ini.

Azeem sebelum ini mencuri tumpuan apabila menamatkan penantian 1,396 hari untuk kembali menyamai rekod kebangsaan 100m miliknya dengan catatan 10.09 saat (s) ketika Kejohanan Kelayakan NCAA di Kentucky.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mengesahkan tiket ke Oregon, malah membuktikan pemenang gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou itu kembali berada pada prestasi terbaik selepas beberapa musim berdepan pelbagai cabaran.

Selepas menyelesaikan cabaran di Oregon, Azeem dijangka kembali ke tanah air untuk beraksi pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 19 hingga 21 Jun ini.

“Jemput datang memeriahkan suasana dan juga membangkitkan lagi arena sukan olahraga Malaysia. Saya sendiri akan turut hadir dan bertanding di Kejohanan Terbuka Malaysia,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN