fbpx
PERNAH dipuji menerusi Prebet Sapu yang melayakkan dirinya menjadi antara pembikin filem indie berpotensi pergi jauh, Muzzamer Rahman kini mempertaruh karya genre suspens berjudul Kacau.

Pengarah Prebet Sapu bikin ‘Kacau’ pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM gelora industri filem tempatan, hadir sebuah naskhah berani yang tidak hanya mahu menakutkan, tetapi mengusik jiwa dan fikiran penonton terutama gen Z.

Saat lambakan filem seram terus membanjiri pawagam, Kacau muncul dengan nafas berbeza, lebih gelap, dekat dengan realiti, dan sarat makna tentang kegelisahan anak muda hari ini.

Diterbitkan Le Mediator Studio dengan kerjasama Buku Fixi, Cine Works dan Technica Studios, Kacau menjadi taruhan baharu dalam genre psikologi seram dengan sentuhan misteri serta pengembaraan ‘young adult’.

Diadaptasi daripada novel popular karya Ariff Adly terbitan Buku Fixi, skrip filem tersebut ditulis pengarah dan penerbit, Muzzamer Rahman bersama Nazim Masnawi dengan pendekatan lebih visual dan kontemporari tanpa mengabaikan roh asal karya.

“Bagi peminat novel ini, saya percaya mereka akan rasa terhibur dan teruja. Walaupun diadaptasi, banyak perubahan dilakukan untuk disesuaikan dengan medium visual dan zaman sekarang.

“Kami cuba berlaku jujur serta bertanggungjawab terhadap teks asal supaya penonton baharu dan pembaca lama dapat menikmati pengalaman sama,” katanya kepada HibGlam.

Menariknya, Kacau mempertaruhkan barisan pelakon muda seperti Idan Aedan, Khayrisyah Kemal, Fimie Don, Sadiq M. Jamil, Nurel Baharin dan Arfie Shah yang berusia bawah 32 tahun.

FILEM Kacau dibarisi bintang muda antaranya Idan Aedan, Khayrisyah Kemal, Fimie Don, Arfie Shah dan Nurel Bahari.

Mengulas pemilihan wajah baharu, Muzzamer tidak gentar mengambil risiko, sebaliknya melihat peluang besar dalam tenaga segar.

“Saya sedar tahap populariti mereka, tetapi kalau bukan saya buka ruang untuk mereka, siapa lagi?

“Bekerja dengan pelakon baharu membuka imaginasi saya. Mereka ada semangat, ada keinginan untuk membuktikan sesuatu. Sepanjang penggambaran, saya nampak keikhlasan itu dan saya yakin pilihan ini tidak salah,” ujarnya.

Mengangkat kisah sekumpulan anak muda yang bermain ritual sekadar suka-suka, Kacau membawa penonton menyelami mimpi ngeri apabila permainan tersebut bertukar menjadi gangguan luar kawalan.

“Saya sedar genre seram memang banyak, tetapi kita kena faham, seram itu hanya genre. Isi dalamnya boleh berbeza.

“Kacau bukan sekadar kisah seram, tetapi pengembaraan anak muda yang cuba melarikan diri daripada realiti, namun akhirnya terjerat dengan perbuatan sendiri. Secara tidak langsung, ini juga satu kritikan terhadap kehidupan generasi muda hari ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, elemen realiti sosial turut disuntik tanpa mengorbankan nilai hiburan.

“Ketika muda, kita rasa semua dilakukan itu menyeronokkan dan betul. Namun dari sudut lain, ada melihatnya sebagai sesuatu yang songsang.

“Kami tetap memastikan elemen hiburan kekal kuat daripada lakonan, jalan cerita hingga aspek teknikal seperti bunyi dan visual,” ungkapnya.

Mengulas risiko adaptasi novel popular, Muzzamer bersikap terbuka terhadap kritikan.

“Mana-mana filem adaptasi pasti akan menerima reaksi berbeza. Saya bersedia untuk itu.

“Tanggungjawab saya adalah berlaku adil kepada pembaca dan penonton. Saya mahu kedua-duanya dapat menikmati naskhah ini dan mungkin membuatkan penonton mahu membaca novelnya,” tuturnya.

Dari sudut teknikal, Kacau diperkukuhkan dengan sentuhan sinematografi Hafiz Rashid, yang pernah dicalonkan dua kali di Festival Filem Malaysia (FFM), selain pasca produksi oleh Technica Studios, pemenang dua kali trofi FFM.

Filem tersebut juga menggunakan format audio Dolby Atmos bagi menghadirkan pengalaman sinematik lebih imersif.

Menariknya, idea mengangkat Kacau ke layar perak sudah lama terpendam sejak 2019, namun tertangguh akibat kekangan termasuk pandemik dan kos produksi.

Hanya kini, dengan sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) Co-Production daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), impian tersebut akhirnya direalisasikan sebagai filem kedua Muzzamer selepas Prebet Sapu.

Filem penuh ‘plot twist’ tersebut dijangka menemui penonton sekitar Oktober atau November 2026, tertakluk kepada proses akhir pasca produksi dan strategi pengedaran.

FILEM Kacau yang diadaptasi daripada novel berjudul sama tulisan Ariff Adly dijangka menemui penonton sekitar November nanti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN