BARCELONA – Pengurusan Barcelona sudah mengenal pasti Cesc Fabregas calon ‘ideal’ untuk menggantikan posisi Hansi Flick selaku ketua jurulatih walaupun beliau baru melanjutkan kontraknya sehingga 2028.
Menurut laporan tempatan, Flick dilaporkan bukan lagi perancangan jangka panjang dengan Fabregas berada di kedudukan terbaik untuk mengambil alih tugas tersebut selepas mencipta impak luar biasa bersama kelab Itali, Como.
Bekas kapten Arsenal dan pemain tengah Barcelona itu berjaya mengangkat reputasinya sebagai antara jurulatih muda paling menyerlah di Eropah selepas membawa Como melakar sejarah tersendiri pada kempen Serie A musim ini.
Prestasi cemerlang itu dikatakan menarik perhatian Presiden Barcelona, Joan Laporta dan pengarah sukan, Deco, yang dilapor sudah pun memberi isyarat bahawa peluang untuk kembali ke Camp Nou sentiasa terbuka buat Fabregas.
Situasi itu turut diperkukuhkan dengan kenyataan Flick sebelum ini yang mengakui Barcelona bakal menjadi destinasi terakhirnya dalam karier kejurulatihan sebelum bersara.
Bagaimanapun, Fabregas yang sudah Bersama Como sejak 2024 sebelum ini mengakui enggan terburu-buru mengejar nama atau jawatan lebih besar.
“Kita tidak boleh tergesa-gesa dalam kerjaya ini. Saya perlu terus belajar dan apabila tiba masanya saya benar-benar bersedia, mungkin ketika itu saya akan mengambil langkah seterusnya.
“Buat masa ini, Como juga sudah melangkah ke tahap lebih tinggi selepas layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL),” katanya. – AGENSI














