PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai Naib Presiden PKR yang baharu.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan di Batu Pahat hari ini.
“Ini bagi mengukuh dan memantapkan lagi organisasi serta gerak kerja parti di peringkat pusat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan Kongres Tahunan Keadilan yang pada awalnya dijadualkan pada 26 hingga 28 Jun telah ditangguhkan ke 14 hingga 16 Ogos 2026.
Bagaimanapun katanya, lokasi kongres tersebut masih manakala dikekalkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
“Penangguhan ini dibuat bagi memberi ruang khususnya kepada Keadilan Johor dan Negeri Sembilan untuk mempertingkat kesiapsiagaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE






