fbpx
SUV besar Chery Tiggo 9 yang dilancarkan untuk pasaran tempatan baru-baru ini hadir dengan gabungan prestasi, teknologi dan keselesaan.

Rekaan moden, karakter lebih matang Tiggo 9

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN Chery Tiggo membuktikan pengeluar automotif dari China itu semakin serius dan cuba mencabar dominasi jenama Jepun dan Eropah dalam segmen SUV premium tempatan.

Diposisikan sebagai model paling mewah dalam keluarga Tiggo, kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk itu hadir dengan gabungan prestasi, teknologi dan keselesaan untuk sebuah SUV keluarga moden.

Chery Malaysia telah mempertonton secara rasmi model SUV flagship itu untuk pasaran tempatan pada 15 Mei lalu dengan anggaran harga RM189,000.

Pengenalan model tersebut juga dilihat selari dengan peningkatan permintaan terhadap SUV bersaiz besar yang menawarkan ruang luas serta ciri premium pada harga kompetitif.

Dari segi dimensi, Tiggo 9 berukuran 4,810 milimeter (mm) panjang, 1,925mm lebar dan jarak antara roda 2,800mm.

Saiz tersebut membolehkan SUV ini menawarkan ruang kabin luas untuk keselesaan tujuh penumpang.

Malah, ruang kargo juga cukup praktikal dengan kapasiti antara 448 liter dan boleh dilaras untuk mencapai kapasiti maksimum 2,065 liter dengan kerusi penumpang belakang direbahkan.

Dari segi prestasi, Tiggo 9 ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo TGDi dengan sistem pacuan empat roda sebagai penawaran sulung model berkenaan di pasaran tempatan.

RUANG kabin yang luas boleh dikatakan menjadi antara tarikan untuk memilikinya.

Versi lain dengan rangkaian kuasa sistem plug-in hibrid elektrik (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH) berkemungkinan akan diperkenalkan kelak selepas versi pembakaran enjin dalaman (ICE) ini dilancarkan.

SUV premium ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 256 PS dan tork maksimum 390Nm, sama seperti yang ditawarkan untuk model Tiggo 8 Pro sebelum ini.

Model ini digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Tidak seperti Tiggo 8 Pro yang hanya memacu roda hadapan, Tiggo 9 ini diberikan sistem AWD yang datang dengan tujuh mod iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road.

Kadar penggunaan minyak SUV ini pula dikatakan 8.3 liter per 100km dan mampu memecut dari pegun ke 100 km/j, dalam masa hanya 9.3 saat.

Pada pandangan pertama penulis, Tiggo 9 tampil dengan reka bentuk moden dan karakter yang lebih matang berbanding model Chery sebelum ini.

Penampilan luaran SUV ini nampak garang tetapi premium menerusi penggunaan gril hadapan 3D Diamond Embossed yang memberikan identiti eksklusif.

Bahagian hadapan turut dipadankan dengan lampu LED bersama pencahayaan dinamik bagi menyerlahkan imej futuristik terutama pada waktu malam.

Rekaan badan model ini yang besar dan tegap membuatkan Tiggo 9 kelihatan lebih premium dan sesuai sebagai SUV keluarga yang mewah.

Ia dipadankan dengan dengan rim aloi bersaiz 20 inci yang melengkapkan lagi penampilan sporty dan elegan model ini.

Selain itu, penggunaan pemegang pintu jenis tersembunyi menjadikan rekaan sisi SUV ini nampak lebih kemas dan moden.

Bumbung panaromik pada Tiggo 9 pula memberikan suasana kabin lebih lapang selain meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang.

Lebih menarik, tempat duduk pemandu pula dilengkapi ciri larasan kuasa 10 hala serta fungsi ventilasi dan fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan.

Ciri ini membantu pemandu lebih aktif dan bertenaga walaupun memandu lama selain mengurangkan rasa mengantuk.

Meninjau ke ruangan kabin, jelas terasa premium dan moden pada material yang digunakan dalam Tiggo 9 seakan kereta mewah jenama Eropah dengan penggunaan warna kulit hitam pada kerusi.

Ia lengkap dengan sistem bunyi Sony 14 pembesar suara termasuk di dalam perehat kepala tempat duduk hadapan, tidak ketinggalan, ciri lampu ambient dengan 64 warna.

Sistem pendingin hawa automatik dwizon bersama panel kawalan khas untuk penumpang belakang turut disediakan. Ciri tersebut membolehkan setiap penghuni kabin menikmati tahap suhu yang lebih selesa mengikut keperluan masing-masing.

Dari sudut keselamatan pula, Tiggo 9 ini lengkap dengan 10 beg udara, sensor parkir depan belakang, kamera paparan keliling 540 darjah dan keselamatan kerusi bayi Isofix.

Ia juga dilengkapi dengan Sistem Pemanduan Termaju (ADAS) 2.5 yang antara lain terdiri daripada ciri kawalan lampu tinggi pintar, amaran perlanggaran depan (FCW), kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan menukar lorong (LCA), pengesan titik buta (BSD), amaran perlanggaran belakang (RCTA) dan lain-lain.

Selain itu, terdapat dua pilihan warna badan pada Tiggo 9 iaitu Matte Grey dan Carbon Black.

Kesimpulannya, dengan prestasi enjin yang bertenaga dan spesifikasi bertaraf premium pada harga yang lebih berbaloi, Tiggo 9 memberi nilai luar biasa berbanding pesaing dalam kelasnya.

Ia bukan sekadar kenderaan, tetapi simbol gaya hidup moden dan keyakinan di setiap perjalanan.

Rekaannya yang elegan, ruang kabin luas serta ciri keselamatan pintar menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga dan mereka yang mahukan pengalaman pemanduan lebih eksklusif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN