NEW YORK – Pengurus Perancis, Didier Deschamps mengesahkan pertahanan utamanya, William Saliba berada dalam keadaan bersedia dan mampu bermain jika khidmatnya diperlukan.
Kenyataan Deschamps itu menutup segala keraguan terhadap kecergasan Saliba yang dikatakan mengalami kecederaan belakang pada aksi final Liga Juara-Juara sekali gus mampu menjadi watak penting perjuangan Les Blues di pentas Piala Dunia 2026.
“William berada dalam keadaan baik dan jika dia perlu bermain esok, dia pasti akan bermain. Saya ada enam pemain yang baru beraksi di final Liga Juara-Juara dan sebahagian mereka berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu,” katanya.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sebelum ini bimbang dengan perjalanan pemainnya pada musim panas kali ini khususnya membabitkan Saliba yang mungkin melupakan aksi awal Liga Perdana Inggeris sekiranya terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan dialaminya.
Namun, khabar daripada Deschamps kali ini pastinya turut meredakan kebimbangan penyokong Arsenal apabila Deschamps sudah menyatakan komitmen untuk menguruskan pemain dengan baik sepanjang bersama skuad kebangsaan.
Walaupun belum bergelar pemain utama ketika edisi empat tahun lalu, Saliba kini dikatakan sedang berada pada kemuncak prestasi untuk bantu kejayaan Perancis di Piala Dunia.
Saliba menjadi salah seorang daripada 10 pemain Arsenal yang terpaksa menarik diri daripada tugasan antarabangsa pada Mac lalu. – AGENSI














