PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan agensi pembantu rumah bagi mengelak terjerat dengan sindiket penipuan.
Antara taktik yang digunakan adalah dengan menghantar amah untuk bekerja selama beberapa hari sebelum menghilangkan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket itu menawarkan masa proses yang pantas dan bayaran deposit menarik bagi ‘memancing’ mangsa.
Menurut beliau, suspek turut menyediakan dokumen yang kelihatan sah bagi meyakinkan pelanggan sebelum meminta bayaran tambahan atas alasan tertentu.
“Bagi mengaburi mata mangsa, pembantu rumah yang dihantar akan bekerja selama beberapa hari. Namun selepas mendapat kepercayaan daripada majikan, amah tersebut akan menghilangkan diri, manakala ejen pula gagal dihubungi,” katanya.
Rusdi berkata, mangsa bukan sahaja kehilangan wang deposit dan bayaran tambahan yang telah dibuat, malah turut berdepan kerugian yang lebih besar sekiranya pembantu rumah tersebut lesap.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu status lesen agensi sebelum membuat sebarang urusan selain mengelakkan pembayaran ke akaun peribadi.
“Semak nombor telefon dan akaun bank melalui platform Semak Mule, selain simpan semua bukti transaksi dan perbualan bagi memudahkan siasatan sekiranya berlaku penipuan,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa yang terperdaya disaran supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan menerusi talian 997 bagi mendapatkan bantuan dan tindakan lanjut.
“Jangan biarkan penipu mengambil kesempatan atas kepercayaan anda. Sentiasa semak dan sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa scam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














