fbpx
Binturong yang diselamatkan daripada seorang lelaki di Seksyen 32, Shah Alam.

‘Kantoi’ bela binturong tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Minat seorang lelaki memelihara haiwan eksotik secara haram memakan diri apabila ditahan selepas pihak berkuasa menemui seekor binturong di kediamannya di Seksyen 32, di sini semalam.

Serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah itu dilakukan kira-kira pukul 1.19 tengah hari oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lelaki berusia 52 tahun yang juga pemilik rumah tersebut mengaku memelihara hidupan liar berkenaan tanpa permit khas yang sah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu memperoleh binturong berkenaan daripada rakannya sejak tahun lalu.

“Pemeriksaan pasukan operasi menemui seekor binturong yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000 bersama sebuah sangkar.

“Kesemua barang kes telah dirampas dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau menambah, suspek juga telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” ujarnya.

Binturong atau nama saintifiknya Arctictis binturong merupakan mamalia arboreal daripada keluarga musang (Viverridae) yang terdapat di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Spesies itu turut disenaraikan dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN