PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dakwaan bahawa Malaysia kini mula dijadikan pusat operasi baharu sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis memandang serius dakwaan tersebut dan bersedia menjalankan siasatan lanjut sekiranya menerima maklumat terperinci daripada MHO.
Menurut beliau, JSJK sentiasa berwaspada terhadap perubahan modus operandi sindiket penipuan yang semakin licik.
“Pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada MHO dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini untuk disalurkan kepada JSJK bagi tujuan tindakan lanjut.
“Kita sentiasa memantau perkembangan semasa melibatkan sindiket penipuan dalam talian dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Malaysia dikatakan berdepan risiko menjadi lokasi baharu operasi sindiket penipuan dalam talian selepas beberapa negara di rantau Asia Tenggara memperketat penguatkuasaan terhadap kegiatan tersebut.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa kumpulan jenayah yang sebelum ini aktif beroperasi di Myanmar, Kemboja, Laos dan Thailand kini dipercayai mula mengalihkan operasi mereka ke negara ini. – KOSMO! ONLINE














