PETALING JAYA– Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan individu yang sesat di dalam hutan tidak boleh terus menjadikan daging babi sebagai pilihan makanan atas alasan darurat.
Menurut beliau, ulama terdahulu menetapkan bahawa segala sumber makanan yang halal dan boleh diperoleh di dalam hutan seperti tumbuh-tumbuhan liar perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pilihan lain.
Katanya, keadaan darurat yang mengharuskan seseorang memakan makanan haram mempunyai syarat dan perincian tertentu yang perlu difahami dengan jelas.
“Ulama dahulu menyebut, jika sesat di dalam hutan, maka pokok atau tumbuhan yang boleh dijadikan makanan hendaklah didahulukan. Berbeza jika seseorang tersesat di padang pasir atau kawasan daratan yang luas serta tiada sumber makanan lain.
“Jangan terus kata apabila sesat dalam hutan dan tiada makanan, kemudian apabila nampak babi lalu terus boleh makan. Itu tidak boleh,” katanya dalam satu kuliah yang dikongsikan di media sosialnya sebelum ini.
Azhar berkata, hutan lazimnya mempunyai pelbagai jenis tumbuhan liar yang boleh dijadikan sumber makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, hukum memakan babi hanya boleh dipertimbangkan dalam keadaan benar-benar terdesak selepas tiada lagi pilihan makanan lain yang boleh dimakan.
“Masa dalam hutan masih ada banyak tumbuhan liar yang boleh dimakan. Sebab itu tidak boleh terus ambil babi sebagai makanan.
“Jika benar-benar tiada pilihan lain, contohnya hanya ada tikus dan babi, maka tikus didahulukan kerana najis mutawasitaf babi sememangnya diharamkan,” jelasnya.
Beliau berkata, masyarakat perlu memahami konsep darurat dalam Islam dengan tepat supaya tidak tersalah tafsir sehingga menganggap sesuatu yang haram boleh dilakukan dengan mudah tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan syarak. – KOSMO! ONLINE.














