MILAN – Calon pengendali AC Milan, Arne Slot mahu menjadikan Ibrahima Konate sebagai sasaran utama sekiranya dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Rossonerri bagi mengharungi saingan musim depan.
Sebagai rekod, Konate menjadi antara pemain pertahanan paling diburu pada jendela perpindahan kali ini selepas sah meninggalkan Liverpool secara percuma apabila kontraknya berakhir.
Kini, Slot yang dicanang bakal mengambil alih tugas pengendali di San Siro terdesak memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan jika mahu mencabar gelaran Serie A musim depan.
Pengendali dari Belanda itu percaya Konate adalah calon paling sesuai untuk membentuk pertahanan ampuh berdasarkan hubungan mereka ketika bersama di Anfield sejak dua musim lalu.
Pemain antarabangsa Perancis berusia 27 tahun itu menjadi tonggak utama The Reds sejak menyertai kelab dari RB Leipzig pada 2021 sehingga berjaya merekodkan 183 penampilan dalam semua pertandingan.
Selain Milan, Chelsea turut dilaporkan berminat untuk membawa Konate ke Stamford Bridge memandangkan statusnya sebagai ejen bebas dan boleh ditandatangani secara percuma.
Dalam masa sama, laporan dari Sepanyol mendakwa Presiden Real Madrid, Florentino Perez juga sudah berjanji bakal mendapatkan Konate jika berjaya mengekalkan jawatan No. 1 The Galacticos itu pada Kongres Pemilihan Presiden, Ahad ini. – AGENSI














