fbpx
SAYANI (kiri) di Pos Kawalan Hadapan (PKH) di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor hari ini

Orang Asli bantu SAR Jaslinda, fokus pencarian ‘off trek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, diperluaskan ke kawasan luar laluan pendakian (off trek) dengan penglibatan komuniti Orang Asli dari Kampung Ampang Woh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, komuniti berkenaan akan menyertai operasi esok selepas perbincangan bersama Tok Batin yang hadir ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) SAR.

Katanya, kira-kira 12 penduduk Orang Asli hadir memberi komitmen awal dan meminta masa untuk mengumpulkan lebih ramai anggota sebelum dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi operasi pencarian.

“Mereka akan memulakan pencarian dari Kampung Ampang Woh dan dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi menyusur kawasan sekitar, khususnya di luar laluan trek.

“Buat masa sekarang, tumpuan operasi adalah di antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu di mana pasukan penyelamat telah pun selesai melakukan pencarian di laluan trek sepanjang kira-kira 35 kilometer,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sayani berkata, penglibatan komuniti Orang Asli dalam operasi SAR sebelum ini telah pun melibatkan anggota polis Senoi Praaq daripada PGA Bidor.

Katanya, mereka merupakan pasukan beruniform yang sememangnya terdiri daripada etnik Orang Asli yang mahir dan pakar dengan keadaan hutan setempat.

“Seperti di PGA Bidor ini, anggotanya sendiri terdiri daripada unit khas Senoi Praaq di mana mereka turut dihantar dan diturunkan di lokasi pencarian mangsa.

“Lagipun, sebelum ini kita memerlukan kepastian terlebih dahulu mengenai pergerakan mangsa sebelum kawasan pencarian dapat dikenal pasti seterusnya dikecilkan.

“Sekarang bila kita menerima tawaran daripada komuniti Orang Asli setempat yang sukarela bergabung dengan pasukan penyelamat maka kami tiada halangan tambahan pula kita tahu kesukaran-kesukaran yang ada situ,” katanya.

Dalam pada itu Sayani berkata, operasi SAR yang memasuki hari kelapan hari ini membabitkan kira-kira 153 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malim Gunung Perhutanan (MGP), PGA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Katanya, sepanjang tempoh itu, lima anggota bomba mengalami kecederaan ringan seperti terseliuh dan kecederaan lutut ketika menjalankan operasi mengesan mangsa.

“Setakat ini, modus operandi operasi masih mengekalkan pencarian di kawasan yang telah dikenal pasti sebelum ini iaitu Kem Sukaneka dan Gunung Rayu sebagai tumpuan utama.

“Sebelum ini kita menfokuskan pencarian di sekitar aliran Sungai Busok tetapi pasukan penyelamat tidak menemukan tanda-tanda yang Jaslinda berada di kawasan tersebut.

“Namun, berdasarkan tempoh kehilangan yang telah memasuki hari kesembilan, keadaan fizikal mangsa semakin lemah dan tidak akan berada jauh dari kawasan tersebut, sekali gus menjadikan pencarian lebih tertumpu dan terperinci di lokasi berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN