MELAKA – Mayat reput dipercayai mangsa bunuh yang ditemukan dalam balutan tilam dengan kedua-dua tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, di sini pada Khamis lalu disyaki rakan kepada suspek ditahan polis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perkembangan itu merupakan hasil siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek, yang sebelum ini telah ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan mayat tersebut.
Menurutnya, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat salah faham dan tuduh-menuduh melibatkan keluarga suspek ketika kedua-dua mereka berada di bawah pengaruh dadah.
“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat disahkan sepenuhnya dan tertakluk kepada proses perbandingan asid deoksiribonukleik dengan ahli keluarga.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan, satu mayat ditemui dalam keadaan hampir hancur dibalut dalam tilam dengan kedua-dua tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, dipercayai membabitkan kes bunuh.
Kejadian disyaki berlaku dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan berdasarkan proses pereputan mayat yang teruk sehingga jantina dan identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.
Susulan kejadian itu polis menahan seorang penganggur lelaki berusia 40-an bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














