BUDAPEST – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique teruja apabila pasukan itu mengukuhkan status ‘raja Eropah’ apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan penalti pada aksi final awal pagi semalam.
Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Luis Enrique menjadi pasukan pertama sejak Real Madrid melakukannya antara 2016 hingga 2018 yang berjaya mempertahankan trofi paling berprestij Eropah tersebut.
Lebih manis, kejayaan kali ini dianggap lebih istimewa oleh Enrique berbanding gelaran pertama yang dimenangi musim lalu memandangkan cabaran lebih sukar terpaksa diharungi sepanjang pentas final.
“Ini lebih besar kerana kami tahu betapa sukarnya untuk berdepan Arsenal dan apa yang kami capai sangat luar biasa.
“Secara jujur, saya fikir kami memang layak menang berdasarkan apa yang ditunjukkan sepanjang musim sehingga mampu kekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut,” katanya.
Sementara itu, kapten PSG, Marquinhos mengakui mempertahankan kejuaraan jauh lebih sukar berbanding memenanginya buat kali pertama ketika mewaskan Inter Milan 5-0 di pentas final tahun lalu..
“Perasaannya berbeza kali ini. Menang dua kali berturut-turut adalah sesuatu yang luar biasa.
Jurulatih sudah mengingatkan kami sejak awal musim bahawa sukar untuk memenangi trofi ini, tetapi lebih sukar untuk mempertahankannya.
“Itulah sasaran kami dan kami menunjukkan mentaliti yang tepat sehingga ke penentuan sepakan penalti,” katanya. – AGENSI














